Lebih 20,000 pengunjung meriahkan ulang tahun ke-20 Petaling Jaya

Lebih 20,000 pengunjung meriahkan ulang tahun ke-20 Petaling Jaya

DATUK Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 20,000 pengunjung menghadiri Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang berlangsung selama enam hari bermula 16 Jun lalu.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata, festival bertemakan ‘PJ Bandar Paling Bahagia dan Mampan’ itu menampilkan 11 program utama serta enam perkhidmatan percuma untuk masyarakat.

Katanya, penganjuran festival berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan antara pihak berkuasa tempatan dengan masyarakat, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dan rasa memiliki terhadap bandar raya itu.

“Pelbagai pengisian disusun merangkumi program komuniti, aktiviti kebajikan, gaya hidup sihat, kelestarian alam sekitar, penglibatan belia serta hiburan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut MBPJ, antara acara kemuncak ialah pertandingan perarakan yang disertai hampir 600 peserta daripada 15 kontinjen melibatkan agensi kerajaan dan sektor swasta.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan antaranya Ernie Zakri, Shidi Data, Thalita, Victoria, Zubir Khan dan Naim Daniel.

Sebagai penghargaan kepada warga Petaling Jaya, MBPJ turut menyediakan parkir percuma di seluruh kawasan pentadbirannya serta akses percuma ke kemudahan sukan termasuk kolam renang, gelanggang dan padang pada 20 Jun lalu.

Sebanyak 1,000 anak pokok turut diedarkan kepada orang ramai bagi menyokong usaha penghijauan bandar, selain pengagihan ubat Abate secara percuma sebagai langkah mencegah pembiakan jentik-jentik.

Selain itu, MBPJ turut menawarkan keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya kepada orang ramai bermula 20 hingga 22 Jun.

Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, ulang tahun berkenaan bukan sekadar meraikan pencapaian, sebaliknya mencerminkan perjalanan panjang pembangunan bandar yang dibina atas asas kebersamaan.

“Petaling Jaya dibangunkan melalui usaha kolektif pelbagai pihak. Dua dekad ini membuktikan bahawa kejayaan bandar raya ini bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal.

“Ia turut dinilai melalui kekuatan komuniti, kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan serta kesejahteraan warganya,” katanya.

Beliau berkata, MBPJ akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, responsif dan berteraskan rakyat selaras dengan aspirasi menjadikan Petaling Jaya bandar raya paling bahagia dan berdaya huni.

“Petaling Jaya dinaik taraf sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006 dan kini mempunyai keluasan pentadbiran 97.2 kilometer persegi dengan populasi 829,865 penduduk serta 292,680 pegangan harta.

“MBPJ akan meneruskan agenda bandar mampan dan inklusif selaras dengan misi ‘Petaling Jaya Mampan dan Bahagia 2030’,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN