Tun M sambut ulang tahun ke-101

Tun M sambut ulang tahun ke-101

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-101, hari ini.

Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah, Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negara selepas menerajui pentadbiran Malaysia selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 sebelum kembali memegang jawatan itu dari 2018 hingga 2020.

Sepanjang pentadbirannya, Dr. Mahathir dikenali sebagai pemimpin yang membawa agenda pemodenan dan perindustrian negara termasuk memperkenalkan Wawasan 2020 yang menjadi hala tuju Malaysia ke arah mencapai status negara maju.

Antara projek utama yang dilaksanakan ketika era pentadbirannya termasuk pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Meskipun tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan kerajaan, Dr. Mahathir masih aktif mengikuti perkembangan semasa negara selain berkongsi pandangan berhubung pelbagai isu menerusi penulisan, kemunculan awam dan media sosial.

Tokoh negarawan itu turut mencipta sejarah apabila kembali menerajui negara sebagai Perdana Menteri ketujuh pada usia 92 tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sepanjang penglibatannya dalam dunia politik, Dr. Mahathir dianggap sebagai antara figura paling berpengaruh yang mencorakkan landskap politik serta pembangunan Malaysia moden. 

Dr. Mahathir mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Dr. Siti Hasmah yang dilahirkan pada 12 Julai 1926 pula bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 Ahad ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN