Tindakan tegas terhadap pemilik rumah kosong dan lot persendirian terbiar di Petaling Jaya

Tindakan tegas terhadap pemilik rumah kosong dan lot persendirian terbiar di Petaling Jaya

petaling jaya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sering menerima aduan berhubung dengan pemilik rumah kosong dan pemilik lot tanah terbiar yang tidak diselenggara dengan baik oleh pemiliknya. Pada tahun 2022 sebanyak 320 aduan telah diterima oleh Majlis manakala sehingga September 2023 pula sebanyak 244 aduan telah direkodkan melalui sistem aduan MBPJ.

Majlis akan bertindak menyelesaikan aduan-aduan ini agar tidak berulang dan menyebabkan kacau ganggu yang boleh memudaratkan penduduk setempat terutama dari segi kesihatan awam serta ancaman keselamatan seperti kehadiran haiwan berbisa dan pembiakan jentik-jentik.

Sehubungan dengan itu, pihak Majlis telah menjalankan pelbagai tindakan penguatkuasaan berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (Majlis Perbandaran Petaling Jaya 1999) bagi mengatasi isu semak samun dan rumah kotor di Petaling Jaya.

Pihak  Majlis turut mengeluarkan notis pembersihan di bawah seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang meminta pemilik untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dalam tempoh notis yang diberikan.

Sekiranya pemilik gagal atau enggan mematuhi notis tersebut, maka tindakan kompaun boleh dikenakan dengan nilai tidak lebih daripada satu ribu ringgit (RM 1,000.00). Dimaklumkan juga, pihak Majlis akan melakukan kerja-kerja pembersihan di tanah tersebut sekiranya tiada tindakan daripada pemilik dan segala caj perkhidmatan akan dibilkan kepada pemilik.

Tindakan perundangan juga diambil bagi kesalahan berulang dan pada tahun 2022, sebanyak 7 kes telah didaftarkan ke mahkamah dan pada tahun 2023 sebanyak 3 kes. Bagi pemilik yang disabit kesalahan di mahkamah, pemilik boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit (RM 1,000.00) atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali dan denda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi setiap satu hari selama tempoh kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pihak Majlis juga memasukkan kaveat pendaftar terhadap sesuatu lot sekiranya pemilik mempunyai tunggakan dan sehingga kini, sebanyak 35 harta telah dimasukkan ke dalam kaveat pendaftar.

Sehingga bulan September 2023, data yang telah dikemaskini mendapati sebanyak 423 pemilik rumah dan lot terbiar mempunyai tunggakan caj pemotongan bil rumput panjang. Bagi pemilik yang masih mempunyai tunggakan bil pemotongan rumput, pihak Majlis juga sedang mengambil tindakan tuntutan sivil bagi menuntut tunggakan bil-bil tersebut.

Mengambilkira kekangan yang dihadapi, pihak Majlis kini telah menjalankan inisiatif berkenaan tunggakan bil rumput panjang ini dengan cara mengaktifkan “popup message” kepada pemilik akaun yang mempunyai tunggakan bil potong rumput panjang.

Dengan cara ini, pemilik akan mendapat maklumat berkenaan tunggakan lampau dan membuat semakan secara fizikal di kaunter dan seterusnya mengemaskini maklumat terkini berkenaan pemilikan tanah.

Majlis menggesa kepada pemilik-pemilik rumah kosong dan lot terbiar diminta untuk memastikan kawasan lot mereka sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik agar tidak menjadi kacauganggu kepada penduduk setempat.

Pemilik juga dinasihatkan untuk membuat semakan berkenaan tunggakan dan melunaskan bil tunggakan sedia ada. Bagi sebarang pertanyaan dan semakan, sila rujuk Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran, di Tingkat 9 Menara MBPJ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya