Lawatan PM ke Jepun berjaya perkukuh kerjasama strategik

Lawatan PM ke Jepun berjaya perkukuh kerjasama strategik

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun berjaya membuka ruang kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang strategik yang mempunyai kepentingan kepada pembangunan ekonomi masa depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lawatan itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, malah turut merangkumi perbincangan dalam bidang kecerdasan buatan, semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal dan rantaian bekalan berdaya tahan.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, menerusi lawatan sama, beberapa perjanjian penting turut dimuktamadkan termasuk pembelian gas asli cecair atau LNG jangka panjang antara Petronas dan JERA Inc.

Katanya, perbincangan sepanjang lawatan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan antara pelabur dari Jepun dengan Malaysia serta meneroka bidang baharu yang mempunyai nilai strategik kepada pembangunan ekonomi negara.

“Perdana Menteri turut menekankan keperluan mempererat kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Jepun, khususnya dalam bidang penyelidikan kuantum.

“Oleh itu, beliau telah minta usaha termasuk antara Universiti Kyoto dan Universiti Malaya dipertingkat dan dipohon supaya lebih banyak universiti melaksanakan kerjasama erat dengan universiti di Jepun,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, bidang penyelidikan kuantum amat penting dalam usaha negara memanfaatkan teknologi baharu termasuk kriptologi kuantum dan penyulitan kuantum.

Katanya, kerjasama dalam bidang berkenaan juga seiring dengan usaha kerajaan memperkukuh keupayaan negara dalam sektor teknologi tinggi dan ekonomi digital.

“Ini satu bidang yang sangat penting termasuk dalam usaha untuk mengguna pakai quantum cryptology dan quantum encryption,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lawatan rasmi Anwar ke Jepun selama tiga hari membuahkan hasil apabila Malaysia dan Jepun memeterai empat memorandum kerjasama (MoC) melibatkan sektor strategik.

Kerjasama itu merangkumi bidang keselamatan maritim, alam sekitar, pengurusan sisa pepejal dan kawal selia peranti perubatan.

Kedua-dua negara turut memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga dan kewangan menerusi perjanjian LNG jangka panjang, selain usaha memperluaskan penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga dua hala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN