PETALING JAYA: Peruntukan RM50 juta bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 perlu digunakan untuk latihan berasaskan keperluan sebenar industri, bukan sekadar menambah program latihan sedia ada.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) merangkap Ahli Majlis TVET Negara, Mohammad Rizan Hassan berkata, dana itu wajar disalurkan kepada pendekatan place and train berbanding train and place.
“Peserta dilatih untuk me ngisi kekosongan yang benar benar wujud dalam industri dan kaedah ini lebih cepat menghasilkan impak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas keputusan kerajaan membenarkan RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) digunakan bagi memperkasa TVET 2.0.
Katanya, dana itu boleh mempercepatkan latihan dalam bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, kenderaan elektrik, semikonduktor, pusat data atau teknologi hijau.
Beliau berkata, kekangan utama penglibatan industri bukan isu kewangan semata-mata kerana banyak syarikat sanggup melabur dalam pembangunan bakat jika memberi manfaat kepada operasi mereka.
Sebaliknya, cabaran lebih besar ialah birokrasi, tempoh latihan terlalu panjang, proses kerjasama rumit dan sistem latihan yang kurang fleksibel.
“Industri bergerak sangat pantas tetapi sistem latihan kadangkala mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan sebenar tempat kerja,” katanya. – UTUSAN










