KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang lelaki warga Myanmar yang berpatah balik ke rumah kongsi untuk mengambil anaknya yang sedang nyenyak tidur membawa kepada penahanannya dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu di empat lokasi penempatan warga asing di daerah Kemaman dan Dungun, kelmarin.
Lelaki terbabit yang pada mulanya melarikan diri kira-kira 250 meter, akhirnya menyerah diri secara sukarela selepas menyedari kawasan rumah pekerja di Taman Industri Paka, Dungun dikepung pegawai penguatkuasa JIM.
Pengarah JIM Terengganu, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata, operasi bermula kira-kira pukul 9 malam Isnin lalu dan berakhir pada pukul 6 pagi keesokannya menumpukan pemeriksaan di rumah pekerja dan penempatan warga asing di kawasan perindustrian.
Katanya, seramai 18 warga asing Myanmar termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun diperiksa dalam operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia antara tujuh tahun hingga 43 tahun melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan di kawasan tapak pembinaan dan rumah kongsi pekerja, terdapat beberapa warga asing cuba melarikan diri bagi mengelak ditahan.
Bagaimanapun, seorang lelaki warga Myanmar yang melarikan diri terpaksa berpatah balik untuk mengambil anaknya yang ditinggalkan di rumah kongsi sebelum bertindak menyerah diri kepada pegawai penguatkuasa.
Mohd. Yusri berkata, semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Ajil, Kuala Berang bagi tujuan siasatan dan proses pendakwaan. – UTUSAN










