KPT pertimbang tindakan perundangan terhadap ADUN Jitra

KPT pertimbang tindakan perundangan terhadap ADUN Jitra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan sewajarnya terhadap tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah mengenai sistem kemasukan ke Universiti Awam (UA).

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, memandang serius tuduhan dilemparkan itu dengan dakwaan kononnya pada masa kini universiti awam sedang menjual tempat kepada orang berduit dan wujud puluhan ribu pelajar memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui pintu belakang.

Katanya, tuduhan itu dibuat berdasarkan rakaman video ucapan Haim Hilman yang disiarkan melalui Facebook sempena “Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan” yang berlangsung pada 13 Jun lalu.

“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk universiti awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah,” katanya.

Menurut KPT, ini bukanlah kali pertama tuduhan sedemikian dilemparkan oleh Haim Hilman sedangkan pihaknya terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta.

“Namun, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh.

“KPT meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, Universiti Awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas.

“KPT juga tidak akan membenarkan sebarang pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN