PETALING JAYA: Kerajaan digesa melaksanakan dasar lebih menyeluruh bagi mengembalikan keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) yang telah pupus, dibatalkan, dinyahwartakan atau ditukar status sejak beberapa dekad lalu.
Ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah kerajaan mewartakan 50 ekar tanah sebagai TRM.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid, langkah itu merupakan usaha wajar dalam mempertahankan hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan TRM.
Bagaimanapun katanya, pewartaan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai sebagai penyelesaian menyeluruh terhadap isu kehilangan keluasan TRM.
“MAPIM dan TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu, namun ia tidak seharusnya dilihat sebagai langkah yang memadai.
“Tanah Rizab Melayu bukan sekadar aset ekonomi, malah ia adalah benteng strategik bagi menjamin pemilikan tanah orang Melayu dan Bumiputera.
“Ia juga mengukuhkan kedudukan sosioekonomi masyarakat serta memastikan generasi akan datang tidak kehilangan warisan yang menjadi asas kelangsungan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Azmi yang juga Presiden TERAS menggesa kerajaan melaksanakan audit nasional terhadap semua TRM bagi mengenal pasti keluasan asal, keluasan semasa serta tanah yang telah kehilangan statusnya.
Katanya, kerajaan juga perlu mengembalikan status TRM yang telah dinyahwartakan atau menggantikannya dengan tanah lain yang mempunyai keluasan dan nilai setara selaras dengan kehendak undang-undang.
““Pada masa sama, sebarang tindakan yang menghakis keluasan TRM tanpa penggantian yang adil dan telus perlu dihentikan.
“Selain itu, kerajaan juga perlu menggubal pelan tindakan jangka panjang bagi meningkatkan keluasan TRM sebagai aset strategik negara,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa pemantauan yang melibatkan kerajaan negeri, pakar perundangan, institusi akademik dan badan masyarakat sivil bagi memastikan dasar berkaitan TRM dilaksanakan secara telus dan berkesan.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua kerajaan negeri melihat isu TRM sebagai agenda nasional yang merentasi kepentingan politik memandangkan tanah yang telah hilang amat sukar untuk diganti.
Justeru katanya, setiap keputusan berkaitan TRM hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab, amanah dan berpandangan jauh.
“MAPIM dan TERAS akan terus memantau pelaksanaan dasar berkaitan TRM serta sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam merangka penyelesaian yang dapat menjamin kelangsungan pemilikan tanah oleh orang Melayu dan Bumiputera untuk generasi akan datang.
“Memelihara TRM bererti mempertahankan hak, maruah dan masa depan bangsa dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










