PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan kerajaan mewartakan 50 ekar (20.23 hektar) tanah di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu memerlukan keberanian politik dan kebijaksanaan dalam mendapatkan sokongan semua pihak.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu juga langkah penting bagi membela kepentingan bumiputera.
“Saya tegaskan di sini, itu satu keputusan dari sudut membela kepentingan bumiputera yang amat besar dan kritikal untuk saya. Ia juga memerlukan keberanian politik yang besar serta kebijaksanaan dalam berunding dengan semua pihak.
“Inilah prinsip undang-undang yang perlu difahami. Ia bukan hanya mengenai aspek teknikal perundangan, sebaliknya memerlukan kebijaksanaan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Peguam Syarie 2026 di sini hari ini.
Katanya, kawasan seluas 480 ekar di Bandar Malaysia telah diambil alih semula kerajaan selepas projek itu gagal susulan salah guna kuasa pentadbiran terdahulu, sebelum diuruskan di bawah Khazanah Nasional Bhd dan Petroliam Nasional Bhd.
Anwar berkata, keputusan (pewartaan) itu tidak melibatkan pengambilan tanah milik mana-mana kaum kerana kawasan berkenaan sememangnya telah menjadi milik kerajaan.
Menurutnya, penjelasan kepada pemimpin pelbagai kaum mengenai rasional keputusan itu telah diberikan bagi mengelakkan salah faham dan memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik.
Pada 27 Jun tahun lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan kajian lanjut berkaitan strategi pembangunan 50 ekar tanah rizab Melayu di Bandar Malaysia sedang dilaksanakan.
Menurutnya, beberapa prinsip penting diambil kira dalam kawasan seluas 50 ekar tersebut antaranya ialah penempatan berkelompok di sekitar kemudahan penting yang relevan seperti masjid, tersebar dan bersepadu selaras dengan konsep keterangkuman Malaysia Madani.
Projek Bandar Malaysia terletak di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi dijangka memiliki nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion. – UTUSAN










