Kedudukan UKM kukuh di pentas dunia

Kedudukan UKM kukuh di pentas dunia

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lonjakan 81 anak tangga membantu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 150 universiti terbaik dunia menerusi QS World University Rankings 2027.

Dalam penarafan terbaharu itu, UKM berada di tangga ke-130 dunia dan kekal dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik daripada 1,504 institusi yang disenaraikan.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, pencapaian tersebut menunjukkan keupayaan universiti itu untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa meskipun landskap pendidikan tinggi global semakin kompetitif.

Sufian berkata, selain peningkatan dalam sitasi penyelidikan, UKM turut merekodkan kenaikan 38 anak tangga bagi indikator Jaringan Penyelidikan Antarabangsa.

“UKM juga mencatat peningkatan 35 anak tangga dalam indikator Kelestarian serta 16 anak tangga bagi Pelajar Antarabangsa.

“Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan kerjasama global.

“Penarafan universiti tidak boleh dinilai berdasarkan kedudukan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat daripada aspek kualiti pendidikan, impak penyelidikan dan sumbangan kepada masyarakat,” katanya

Sufian berkata, penarafan tersebut menjadi antara penanda aras penting untuk menilai prestasi universiti serta mengenal pasti ruang yang boleh dipertingkatkan.

“UKM akan terus memberi tumpuan kepada semua aspek ini dalam usaha meningkatkan prestasi universiti secara menyeluruh.

“Kami komited memperkukuh pengajaran, penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan bagi memastikan UKM terus relevan serta berdaya saing di peringkat global,” kata beliau lagi.

Beliau berkata, kejayaan itu juga hasil komitmen seluruh warga UKM yang terus menyumbang kepada pembangunan universiti dan pengukuhan reputasinya di persada antarabangsa.

“Terima kasih kepada semua warga UKM atas sumbangan yang telah mengangkat nama universiti ke peringkat global.

“Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk UKM terus mencipta kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN