Kebajikan penduduk Putra Heights terus diperjuang - Mohamad Sabu

Kebajikan penduduk Putra Heights terus diperjuang – Mohamad Sabu

TINJAUAN semula selepas setahun kejadian letupan gas di Putra Height.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebajikan penduduk yang terjejas dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights tahun lalu akan terus diperjuangkan agar mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan.

Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, masih ramai penduduk berdepan cabaran untuk meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun insiden itu telah berlaku setahun lalu.

Katanya, perkara itu tidak boleh dilihat sekadar sebagai satu berita yang telah berlalu kerana di sebalik setiap rumah yang terjejas, terdapat keluarga yang masih berusaha membina semula kehidupan mereka.

“Setahun berlalu, tetapi luka dan kesan musibah itu masih dirasai oleh ramai penduduk Putra Heights. Semalam Bang Mat bertemu dan mendengar sendiri luahan wakil komuniti Putra Heights yang terlibat dalam tragedi letupan paip gas pada Hari Raya kedua tahun lalu.

“Pertemuan ini memberi ruang untuk Bang Mat mendapatkan perkembangan terkini, mendengar isu-isu yang masih belum selesai dan berbincang tentang perkara-perkara yang boleh diperjuangkan bersama demi kepentingan penduduk. 

“Insya-Allah, Bang Mat akan terus berusaha memastikan kebajikan mereka sentiasa mendapat perhatian daripada pihak-pihak yang berkaitan,” katanya. 

Pada 1 April tahun lalu, kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar dengan 85 rumah terkesan sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Insiden melibatkan saluran paip gas milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sepanjang 500 meter itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi dengan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat dari beberapa kilometer jauhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN