SHAH ALAM: Selangor menumbuhkan jawatankuasa bebas bagi menilai siasatan insiden kebakaran dan letupan paip gas dekat Putra Heights di Subang Jaya berkuat kuasa hari ini.
Felo Penyelidikan Kanan Pusat Kesiapsiagaan dan Pencegahan Bencana, Dr. Kamarul Azahari Razak yang dilantik menjadi pengerusinya.
Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh Pengarah IKRAM Works Sdn. Bhd, Mohd. Taufik Haron; Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Zahirasri Mohd. Tohir dan Pengarah Pengurusan Geo Mag Engineering, Dr. Mohamad Anuri Ghazali.
Turut sama dalam jawatankuasa adalah ahli Persatuan Jurutera Malaysia (BEM), Muhamad Her Jantan; Naib Presiden Pertubuhan Perancangan Malaysia, Abdul Hamid Akub dan Pengurus Tugas Khas Pejabat Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Shahronizam Noordin.
Wakil mangsa insiden itu yang juga ahli geofizik kanan, Juzaili Azmi turut dilantik dalam jawatankuasa berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, penubuhan tersebut dianggotai pakari teknikial, ahli akademik dan profesional dari industri berkaitan yang tidak mempunyai kepentingan dalam insiden tersebut.
“Ia bertujuan memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan keselamatan awam menjadi keutamaan dalam menangani insiden melibatkan infrastruktur kritikal.
“Pelantikan ahli jawatankuasa itu juga mendapat kelulusan daripada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, jawatankuasa tersebut akan memulakan siasatan serta merta dan menilai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkaitan sebelum membentangkan laporannya kepada kerajaan negeri.
Pada 30 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan jabatan teknikal lain sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.
Beliau ketika itu berkata, jawatankuasa berkenaan dianggotai profesional daripada pelbagai bidang termasuk pakar akademik, cerun, minyak dan gas, kebakaran serta keselamatan.
Selain itu, Mohd. Najwan memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal berkaitan supaya melakukan persiapan awal bagi menghadapi fasa peralihan Monsun yang dijangka bermula 30 September hingga November ini.
“PBT serta agensi teknikal lain perlu segera memastikan penyelenggaraan kolam takungan, longkang tidak tersumbat, ban di sungai dan laut serta pam berfungsi dengan baik dan memangkas pokok yang berisiko untuk tumbang.
“Orang ramai juga diminta untuk lebih berwaspada ketika tempoh itu dan perlu sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET),” ujarnya. – UTUSAN










