Laporan penuh tragedi Putra Heights belum dapat didedahkan

Laporan penuh tragedi Putra Heights belum dapat didedahkan

Laporan tragedi Putra Heights
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Laporan penuh tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada tahun lalu belum dapat didedahkan susulan terdapat maklumat daripada agensi Persekutuan seperti Petronas dan sebagainya belum diperolehi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain itu terdapat tuntutan-tuntutan dikemukakan oleh penduduk terlibat kepada mahkamah menyebabkan beberapa perkara belum dapat dimuktamadkan dalam laporan.

“Di pihak kerajaan negeri, pada bila-bila masa kita akan dedahkan. Tetapi hal itu (makluman daripada agensi Persekutuan dan tuntutan di mahkamah) menyebabkan gangguan dalam urusan berkaitan laporan tersebut.

“Pendirian kerajaan negeri mudah dan sejak hari pertama saya beritahu hendak dedahkan semua laporan yang dibuat oleh pihak berkuasa dan juga disemak oleh jawatankuasa bebas. Jawatankuasa bebas juga turun ke lapangan dan menyemak perinciannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan penduduk yang terjejas dengan insiden letupan itu menggesa kerajaan negeri segera mendedahkan laporan penuh siasatan jawatankuasa bebas seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Badly Nordin berkata, sehingga kini mereka masih menunggu janji tersebut ditunaikan bagi menilai langkah keselamatan pada masa depan.

Jelas Amirudin, bagaimanapun terdapat beberapa maklumat yang bukan di bawah bidang kuasanya perlu mendapat kebenaran daripada agensi Persekutuan termasuk penilaian terhadap perkara-perkara berkaitan.

“Cuma ada agensi Persekutuan yang saya kena minta kebenaran. Sebab ia bukan di bawah bidang kuasa saya sepenuhnya. Tetapi kalau laporan, tak ada masalah. Cuma kesan-kesan dan sebagainya itu perlu dinilai oleh kementerian berkaitan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN