Jumpa hanya 3.5 km dari tempat hilang selepas 4 hari

Jumpa hanya 3.5 km dari tempat hilang selepas 4 hari

ABDULLAH Alias (duduk) ditemukan selamat oleh seorang pekerja ladang di Felda Palong 3, Jempol, Negeri Sembilan. - GAMBAR IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas memasuki kebun sawit di Felda Palong 3 di sini pada Ahad lalu ditemukan selamat.

Mangsa, Abdullah Alias, 78, ditemukan pada pukul 12.10 tengah hari semalam di kawasan ladang sawit Palong 4, kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, mangsa ditemukan oleh seorang pekerja ladang pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, operasi SAR yang disambung semula pada pukul 9 pagi melibatkan anggota JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

“Mangsa ditemukan pada pukul 12.10 tengah hari di kawasan ladang sawit Palong 4 sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Palong 4, 5 dan 6 untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar dilaporkan berkata, kawasan pencarian diperluaskan sehingga radius tiga kilometer dari lokasi motosikal mangsa ditemukan.

Beliau dilaporkan berkata, mangsa yang mempunyai masalah pelupa dipercayai bergerak lebih jauh dari lokasi terakhir keberadaannya.

Katanya, mangsa yang berkulit cerah dan berketinggian kira-kira 160 sentimeter dilaporkan memakai baju-T berwarna kelabu serta bertopi merah ketika kali terakhir dilihat.

Operasi SAR itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM dan JBPM serta dibantu dengan penggunaan dron oleh Unit Dron JBPM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN