JPN buat laporan, video tukar lelaki Myanmar miliki MyKad

JPN buat laporan, video tukar lelaki Myanmar miliki MyKad

JPN
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA (JPN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung video tular yang memaparkan seorang lelaki mendakwa berasal dari Myanmar dan mengakui mempunyai MyKad.

JPN memaklumkan, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa susulan penularan video berkenaan, selain mengelakkan kekeliruan, spekulasi dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, pihaknya memandang serius sebarang dakwaan yang membabitkan pemilikan MyKad atau status kewarganegaraan seseorang individu.

Bagaimanapun, JPN menjelaskan bahawa pihaknya tidak boleh mengesahkan status kewarganegaraan seseorang atau mengambil tindakan lanjut hanya berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial.

“Sebarang pengesahan hanya boleh dibuat melalui semakan rekod rasmi dan siasatan terperinci mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Ketika ini, identiti sebenar individu berkenaan masih belum dapat dikenal pasti dan tiada maklumat lengkap yang boleh digunakan bagi tujuan pengesanan atau tindakan lanjut oleh JPN,” katanya.

JPN telah memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan individu terbabit dan mengenal pasti identiti sebenar pemilik akaun berkenaan.

Menurut JPN, pihaknya turut memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu mengesan sumber asal penyebaran kandungan tersebut serta mengenal pasti pihak yang terbabit dalam penyebarannya.

JPN menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan dokumen pengenalan diri negara.

“Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang terbabit.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mendapatkan fakta sebenar,” katanya.

Laporan polis berhubung video tular dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya hari ini.

Terdahulu, satu akaun TikTok berkongsi video seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Myanmar dan mengakui memiliki MyKad.

Pemilik akaun berkenaan mempersoalkan sama ada individu itu memiliki MyKad palsu, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atau mungkin tersalah faham antara permit kerja dengan MyKad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN