PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan meneliti satu persatu kes penggantian dokumen pengenalan diri bagi mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan bagi memastikan ia diberikan kepada mereka yang layak sahaja.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak akan mengambil pendekatan ‘pukul borong’ dalam menangani isu pemilikan dokumen dalam kalangan mangsa kebakaran itu.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, bantuan penggantian dokumen pengenalan diri itu tidak bermaksud semua mangsa akan secara automatik diberikan dokumen baharu tanpa semakan.
“Kalau insiden itu menyebabkan dokumen hilang, kita akan bantu sediakan dokumen ganti. Tetapi itu bukan bermakna semua mangsa layak secara automatik. Kita akan teliti setiap kes bagi memastikan ketepatan dan kelayakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kemungkinan terdapat mangsa yang tidak mempunyai status kewarganegaraan sah dalam kejadian kebakaran itu.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan kerajaan ketika ini adalah menyediakan pusat pemindahan sementara kepada lebih 9,000 mangsa yang terjejas melibatkan lebih 1,000 rumah atas air.
“Buat masa ini, proses pendaftaran mangsa sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah bersama agensi negeri dan Persekutuan, termasuk mengenal pasti status dokumen pengenalan diri setiap individu.
“Dalam proses pendaftaran itu, kalau kita temui individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kita akan tangani perkara itu satu persatu.
“Kita tidak boleh membuat kenyataan umum kerana soal pemilikan dokumen ini sangat penting. Pada masa sama, ia tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada mereka yang tidak layak,” katanya.
Dalam insiden awal pagi Ahad lalu, sekurang-kurangnya 8,000 penduduk terjejas apabila kira-kira 1,000 rumah penempatan atas air di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan musnah dalam kebakaran. – UTUSAN










