Ibu warganegara Malaysia mohon pertimbang semula permohonan MyKad dua anak lelaki

Ibu warganegara Malaysia mohon pertimbang semula permohonan MyKad dua anak lelaki

WANITA warganegara, Siti Zubaidah, 50 (dua kanan) dan anak lelakinya ketika hadir untuk menghantar surat rayuan bagi mendapatkan MyKad yang berdepan kesukaran dalam permohonan walaupun mempunyai sijil kelahiran Malaysia di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang ibu warganegara Malaysia yang berdepan kesukaran mendapatkan MyKad untuk dua anak lelakinya merayu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya memudahkan proses permohonan tersebut agar kedua-dua beradik itu dapat memiliki identiti sah, sekali gus berpeluang membina masa depan dan hidup bermaruah di negara kelahiran mereka.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Siti Zubaidah, 50, itu berkata, kedua-dua anak lelakinya dilahirkan di negara ini masing-masing pada tahun 1999 dan 2003 di Kelantan dan Selangor.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua beradik itu telah dibawa ke Jambi, Indonesia oleh bapa kandung mereka ketika masih kecil, tanpa pengetahuan mahu pun persetujuan dirinya sebagai ibu kandung.

“Anak lelaki saya ketika ini sudah pun berusia 27 dan 23 tahun, namun masih tidak mempunyai MyKad walaupun mereka dilahirkan di Malaysia dengan sijil kelahiran Malaysia. Kedua-dua beradik ini telah dibawa lari ke Indonesia oleh bapa mereka, kemudian ditinggalkan di kampung untuk dibesarkan oleh datuk dan nenek menggunakan rekod keluarga tempatan disebut sebagai ‘Kartu Keluarga’.

“Dokumen pengenalan diri dan pasport Indonesia yang diperoleh oleh anak-anak saya pula adalah berdasarkan maklumat yang terkandung dalam Kartu Keluarga tersebut yang didaftarkan di Indonesia dan bukannya berdasarkan sijil kelahiran asal Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di luar bangunan Ibu Pejabat JPN di sini hari ini.

Terdahulu, Siti Zubaidah diiringi Penasihat Undang-Undang Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), May Eva Sofea Zainal Abidin mengemukakan surat rayuan rasmi kepada JPN berhubung permohonan MyKad kedua-dua anak lelakinya.

Pada masa sama, Siti Zubaidah turut merayu kepada jabatan berkenaan agar dapat memudahkan proses permohonan MyKad bagi kedua-dua anak lelakinya setelah menjalankan pelbagai usaha sejak mereka kembali semula ke Malaysia pada 2023.

“Saya ini bukan orang senang, banyak duit saya telah habis untuk pelbagai proses ini. Saya cuma harap anak saya dapat MyKad mereka dan dapat bekerja seperti anak-anak muda yang lain. Ketika ini, salah seorang daripada mereka bekerja sebagai pekerja pembersihan dan sangat berharap untuk memiliki Mykad seterusnya mencari peluang kerja yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, May Eva Sofea memaklumkan, ‘Kartu Keluarga’ yang digunakan oleh dua anak Siti Zubaidah merupakan dokumen rekod keluarga
di Indonesia yang merekodkan maklumat asas ahli-ahli dalam satu isi rumah seperti hubungan kekeluargaan, status perkahwinan, pekerjaan dan pendidikan.

Jelasnya, dalam kes tersebut maklumat yang terkandung dalam ‘Kartu Keluarga’ itu telah digunakan sebagai asas bagi tujuan dokumentasi dan pengeluaran dokumen pengenalan diri di Indonesia, termasuk pasport, tanpa merujuk kepada sijil kelahiran asal Malaysia dua beradik itu.

“Pada 2023 dengan bantuan penduduk kampung dan jiran-jiran setempat, kedua-dua anak pengadu telah memperoleh pasport Indonesia semata-mata bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia untuk mencari dan bertemu semula dengan ibu kandung selepas bertahun-tahun terpisah,” ujarnya.

Justeru, katanya, ketika kali pertama ibu kepada dua anak itu menyerahkan permohonan kepada JPN Selangor, antara isu yang dibangkitkan adalah percanggahan maklumat pada pasport Indonesia berbanding maklumat yang terdapat dalam sijil kelahiran Malaysia.

Katanya, percanggahan tersebut berlaku dalam keadaan kedua-dua anak tersebut tidak mempunyai dokumen asal lengkap daripada Malaysia semasa berada di Indonesia, seterusnya mengakibatkan permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan telah ditolak.

Tambahnya lagi, atas nasihat JPN Selangor, wanita berkenaan juga telah menjalankan ujian DNA dan keputusan ujian berkenaan mengesahkan hubungan biologikal anak tersebut dengan ibu kandungnya yang merupakan seorang warganegara Malaysia.

“Perlu ditegaskan bahawa kes ini bukan melibatkan permohonan kewarganegaraan baharu atau tuntutan taraf kewarganegaraan oleh individu yang tidak mempunyai rekod kelahiran Malaysia. Sebaliknya, ia melibatkan dua individu yang telah mempunyai sijil kelahiran Malaysia, status warganegara yang direkodkan pada sijil kelahiran tersebut serta nombor kad pengenalan Malaysia sejak awal lagi,” ujarnya.

Justeru katanya, melalui rayuan rasmi yang diserahkan hari ini, pihaknya memohon agar keseluruhan fakta kes, dokumen sedia ada, rekod kelahiran Malaysia, keputusan DNA serta faktor kemanusiaan dapat diberikan pertimbangan sewajarnya oleh pihak JPN.

“Sebab itu juga kita tekankan bahawa dalam menilai permohonan ini jangan terlalu ‘rigid’ sebab isu dokumentasi sahaja memandangkan fakta kes ini unik sedikit. Ia bukan permohonan kewarganegaraan baru, ini permohonan daftar lewat kad pengenalan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN