PETALING JAYA: Harga ayam dikatakan terus meningkat sejak sebelum Hari Raya Aidiladha, lantas membebankan peniaga di pasar-pasar apabila mereka bukan sahaja terpaksa berdepan kenaikan kos bekalan, malah berisiko kehilangan pelanggan yang kini lebih berhati-hati berbelanja.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar daerah ini mendapati, rata-rata peniaga mengakui harga ayam kini meningkat. Mereka mendakwa, kenaikan berlaku sekitar 30 sen sehari dan telah mencecah RM2.50 sekilogram.
Peniaga di Pasar Seksyen 14, Burhanudin Bajuri, 49, berkata, mereka sering dipersalahkan apabila harga ayam meningkat, sedangkan pembekal yang menetapkan harga lebih tinggi.
“Kalau pembekal tidak naikkan harga, kami di pasar pun tidak akan naikkan harga. Susah untuk kami jual ayam dengan harga mahal macam ini sebab pelanggan akan kurang membeli.
Sekarang saya beli ayam daripada pembekal dengan harga RM9.50 sekilogram dan jual sekitar RM12 sekilogram,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Burhanudin berkata, keuntungan yang diperoleh tidak besar kerana jualan di pasar tidak sebanyak pasar raya besar.
“Sekarang pelanggan lebih berhati-hati dalam berbelanja berikutan keadaan ekonomi semasa sehingga ada yang mengurangkan kuantiti pembelian ayam berbanding sebelum ini.
“Kalau sebelum ini pelanggan membeli seekor ayam atau beberapa ekor dalam seminggu, kini mereka hanya membeli separuh ekor atau seekor sahaja bagi mengurangkan perbelanjaan,” katanya.
Katanya, kenaikan harga ayam ketika cuti sekolah dan Aidiladha berlaku apabila pembekal mengambil kesempatan menaikkan harga, walaupun bekalan di pasaran mencukupi.
“Saya sudah lama berniaga sejak tahun 1990, jadi saya memang dah faham keadaan pasaran. Nanti lepas cuti sekolah habis, tengoklah Isnin minggu depan, mesti pembekal akan turunkan semula harga. Itu memang permainan mereka.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan semula pelaksanaan subsidi dan harga kawalan ayam seperti sebelum ini bagi mengelakkan pembekal menaikkan harga sesuka hati,” katanya.
Sementara itu, peniaga di Pasar Jalan Othman, Bibi Abd. Rashid, 43, berkata, harga ayam ketika ini meningkat kira-kira RM2 sekilogram.
“Pelanggan memang berkurangan kerana harga yang tinggi menyebabkan mereka memilih untuk membeli di pasar raya yang menawarkan harga lebih murah,” katanya.
Di Shah Alam, peniaga di Pasar Moden Seksyen 6, Hazman Dolhamid berkata, mereka tiada pilihan selain menaikkan harga runcit ayam berikutan kos logistik yang ditanggung oleh pihak pengeluar dan pembekal telah meningkat secara drastik.
“Kami terpaksa menjual ayam pada harga RM10.50 sekilogram berbanding sekitar RM9.50 sebelum ini.
“Apabila kami merujuk perkara ini kepada pembekal, mereka juga mengeluh mengenai kos operasi yang terlampau tinggi,” katanya. – UTUSAN










