Gandingan pemerintahan YDPA, pentadbiran Anwar makmurkan perpaduan, ekonomi Johor - Penganalisis

Gandingan pemerintahan YDPA, pentadbiran Anwar makmurkan perpaduan, ekonomi Johor – Penganalisis

GANDINGAN antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa Johor ke tahap terbaik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gandingan antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa Johor ke tahap terbaik dalam kestabilan politik yang menjurus kepada tahap perpaduan dan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik Universiti Malaya, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, Johor hari ini berada pada satu fasa yang sangat penting dalam konteks politik, pentadbiran dan ekonominya.

Katanya, kejayaan negeri ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi lahir daripada suasana kepimpinan yang stabil, keintiman hubungan institusi yang harmoni dan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap hala tuju negara.

“Johor dan Malaysia hari ini boleh dianggap bertuah kerana berada di bawah naungan dua institusi kepimpinan yang mempunyai arah yang sama, iaitu melihat negeri dan negara ini maju dengan lebih stabil, tersusun dan diyakini.

“Pertama, melalui sentuhan dan kewibawaan kepimpinan Sultan Ibrahim sebagai payung penyatuan dan kestabilan negara. Baginda bukan sahaja membawa pengalaman pemerintahan Johor yang kukuh, tetapi turut menampilkan kepimpinan yang dekat dengan rakyat, tegas dalam menjaga kepentingan negara dan jelas dalam menekankan perpaduan sebagai asas kemajuan.

“Pada masa sama, tidak boleh dinafikan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi penekanan kepada kestabilan politik, keyakinan pelabur dan pembangunan ekonomi yang lebih tersusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Mohamad Tawfik, apabila institusi Diraja dan kerajaan saling bergandingan atas landasan kebersamaan untuk menguruskan pentadbiran negara, situasi ini memancarkan isyarat kestabilan yang kuat kepada rakyat.

Katanya, ia sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang aman, diyakini dan memiliki masa depan ekonomi yang cerah.

Jelasnya, Johor menjadi contoh yang sangat jelas, negeri ini bukan sahaja penting dari sudut politik, tetapi juga semakin menonjol sebagai enjin ekonomi baharu Malaysia.

“Kedudukannya bersebelahan Singapura, pembangunan infrastruktur dan kemasukan pelaburan yang rancak menjadikan Johor antara negeri paling strategik dalam menentukan masa depan ekonomi negara.

“Lebih menarik apabila kestabilan politik di Johor telah membantu membina suasana perpaduan yang lebih matang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat hari ini tidak hanya melihat pembangunan menerusi projek fizikal semata-mata, sebaliknya menantikan limpahi hasil daripada kepimpinan yang tahu menjaga hubungan antara istana, Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan masyarakat.

“Inilah kekuatan sebenar Johor menerusi tradisi diraja yang dihormati, pentadbiran yang stabil dan ekonomi yang terus berkembang.

“Justeru, kejayaan Johor pada hari ini wajar dilihat sebagai hasil gabungan antara kebijaksanaan institusi Diraja, kepimpinan nasional yang memberi keutamaan kepada kestabilan, serta keupayaan kerajaan negeri menterjemahkan dasar kepada manfaat rakyat.

“Jika momentum ini terus dipelihara, Johor bukan sahaja akan kekal sebagai negeri penting dalam politik Malaysia, tetapi juga muncul sebagai model kestabilan, perpaduan dan pertumbuhan ekonomi untuk negeri-negeri lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN