Musang king dilanyak gajah, rezeki Ridzuwan dengan nanas MD2

Musang king dilanyak gajah, rezeki Ridzuwan dengan nanas MD2

MUHAMAD Ridzuwan Che Dan menunjukkan nanas MD2 yang siap dipetik untuk pasaran di Kampung Perak, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Selepas kecewa ta­naman durian musang king musnah diceroboh gajah, seorang petani kini memperoleh rezeki lumayan hasil pasaran nanas MD2 di Kampung Perak, dekat sini.

Muhamad Ridzuwan Che Dan, 43, berkata, dia kerugian hampir RM50,000 apabila tanaman musang king dan pisang musnah dilanyak kawanan gajah di kawasan pertanian ber­dekatan dengan Felda Kota Ge­langgi Dua, dekat sini.

“Saya tidak putus asa lalu me­ngalih tumpuan dengan menanam nanas MD2 atas nasihat rakan di kawasan seluas 0.8 hektar tanah milik sendiri di Kampung Perak berdekatan Felda Sungai Tekam Utara, Saya memulakan tanaman sebanyak 15,000 benih nanas pada Julai tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam tempoh 15 bulan, pokok nanas mula berbuah dan matang boleh dipetik untuk pasaran. Pusingan pertama nanas ini dikutip hujung bulan September lalu seberat 3,000 kilogram dan saya memperoleh sebanyak RM18,000 hasil jualan kepada pemborong, kedai runcit dan pelanggan menerusi dalam talian,” katanya di Kampung Perak.

Menurut Muhamad Ridzuwan, harga nanas ditolak kepada pemborong adalah antara RM3 hingga RM3.80 sekilogram manakala pelanggan membeli di gerainya terma­suk dalam talian dengan harga antara RM5 hingga RM6 sekilogram mengikut saiz dan mutu buah berkenaan.

Katanya, pusingan kedua awal pada awal bulan ini, dia memungut seberat 2,000 kilogram nanas dan terus dipasarkan dengan memperoleh seba­nyak RM12,000.

“Saya bersyukur kerana hasil pendapatan yang cukup memberangsangkan dan selesa selepas ditolak dengan modal menguruskan tanaman ini sebanyak RM15,000,” katanya.

Ujarnya, dia kini merancang menanam 15,000 benih nanas MD2 lagi kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran sekali gus memperoleh pendapatan lumayan.

“Kerugian yang ditanggung akibat tanaman musang king dan pisang musnah diancam gajah terbalas menerusi hasil usaha yang tidak mengenal putus asa,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini