NARATHIWAT (THAILAND): Polis Thailand menahan seorang rakyat Malaysia dan merampas bunga ganja seberat 20 kilogram (kg) semasa melalui pusat Pemeriksaan Kastam Padang Besar, Daerah Sadao, Songkhla, di sini semalam.
Suspek berusia 30-an ditahan semasa menaiki kereta bernombor pendaftaran Malaysia semasa melalui pusat pemeriksaan berkenaan pada pukul 11.45 pagi.
Jurucakap Polis Wilayah 9 berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut menemukan 20kg bunga ganja bernilai RM36,599 yang disembunyikan dalam ruang khas kereta tersebut.
“Bunga ganja itu dibungkus dalam beberapa beg plastik lut sinar dan disembunyikan dalam ruang khas yang diubah suai supaya boleh diakses dari bahagian tempat duduk penumpang serta but kereta.
“Kereta itu ditahan ketika menuju ke Malaysia sebelum pemandunya, lelaki rakyat Malaysia berusia lingkungan 30-an diberkas kerana disyaki cuba menyeludup keluar bunga ganja dari Thailand,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jurucakap itu berkata, semakan mendapati nilai bunga ganja itu dianggarkan antara RM700,000 hingga RM1.96 juta sekiranya memasuki pasaran Malaysia, bergantung pada gred dan rantaian bekalan.
Katanya, suspek berdepan pertuduhan mengikut Akta Kastam B.E. 2560 (2017) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda empat kali ganda nilai barangan berkenaan atau kedua-duanya sekali.
“Suspek turut boleh dikenakan penalti tambahan sekiranya bunga ganja itu bernilai lebih RM3,659.50 sekilogram,” ujarnya. – UTUSAN











