DUN Negeri Sembilan terbubar automatik 10 Jun?

DUN Negeri Sembilan terbubar automatik 10 Jun?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negeri Sembilan dijangka berdepan krisis Perlembagaan menjelang 10 Jun ini sekiranya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dilaksanakan sebelum tarikh tersebut.

Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To, berkata, di bawah Perkara LVI(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan menetapkan bahawa sidang DUN mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas persidangan terakhir pada 11 Disember 2025.

Katanya, kegagalan DUN bersidang dalam tempoh enam bulan seperti ditetapkan Perlembagaan Negeri boleh membuka ruang kepada isu pembubaran automatik.

“Ini bermakna, jika sidang DUN tidak dilaksanakan selewat-lewatnya pada 10 Jun 2026, Negeri Sembilan berkemungkinan berdepan isu Perlembagaan yang serius,” katanya dalam Facebook miliknya.

Pada 23 April lalu, sidang DUN Negeri Sembilan Ke-15 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ditangguh hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Istiadat perasmian pembukaan DUN itu tidak dihadiri Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin seperti kelazimannya susulan krisis yang dihadapi apabila Undang Luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, manakala Undang Sungei Ujong pula didakwa sudah dipecat.

Tambah Eric, persidangan DUN pada 23 April lalu hanya melibatkan upacara pembukaan rasmi dan penyampaian Titah Diraja, manakala urusan sebenar DUN seperti sesi soal jawab, perbahasan usul serta pembentangan dan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) tidak dijalankan.

Beliau mendakwa, jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menganggap 23 April sebagai ‘sidang DUN sebenar’ semata-mata untuk menyatakan tiada pelanggaran Perlembagaan Negeri, perkara itu tidak wajar dibanggakan.

“Perkataan penting dalam Perlembagaan ialah ‘sitting’, bukan sekadar majlis pembukaan, bukan sekadar hadir dan mendengar ucapan, kemudian menangguhkan semua urusan sebenar DUN ke tarikh yang tidak diketahui,” katanya.

Ketika ini, kedudukan DUN Negeri Sembilan menjadi tumpuan sama ada ia akan dibubarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam masa terdekat atau masih diteruskan sementara waktu, ketika berdepan isu perlembagaan dan institusi adat.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini.

Pertemuan itu merupakan kelaziman sebelum Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang diadakan pada setiap hari Rabu.

Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan memperuntukkan bahawa pembubaran DUN tidak boleh diputuskan secara terus oleh Menteri Besar, sebaliknya perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar dan persetujuan Undang Yang Empat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN