SEREMBAN: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengadakan satu mesyuarat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini, pagi ini.
Antara kepemimpinan yang kelihatan hadir termasuklah Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, J. Arul Kumar dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.
Difahamkan mesyuarat di kediaman Pengerusi PH Negeri Sembilan antaranya bagi membincangkan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd. Shah memaklumkan tiada sidang akhbar berkaitan akan dibuat hari ini.
Bagaimanapun beliau mengesahkan, Menteri Besar akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir esok sebagaimana kelaziman sebelum Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan diadakan.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengumumkan pembubaran DUN negeri itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ( PRN ) ke-16. – UTUSAN










