BAITULMUQADDIS: Parlimen Israel pada awal Jumaat dibubarkan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya pada Oktober, sekali gus menamatkan siri kelulusan rang undang-undang pada saat akhir oleh kerajaan yang bertujuan memenuhi tuntutan sekutunya.
Usul pembubaran itu disokong oleh 62 daripada 120 anggota Knesset, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya yang dijadualkan pada 27 Oktober, di mana Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berusaha mendapatkan satu lagi penggal meskipun popularitinya semakin merosot.
Kerajaan pimpinannya telah meluluskan beberapa rang undang-undang kontroversi sejak beberapa hari lalu bagi mengukuhkan kedudukannya dan memenuhi tuntutan sekutu daripada komuniti Yahudi ultra-Ortodoks di Israel.
Dalam sesi terakhir yang berlangsung sehingga lewat malam, gabungan pemerintah meluluskan beberapa rang undang-undang.
Ia termasuk undang-undang yang mengurangkan kuasa Peguam Negara, membekukan penahanan individu yang mengelak daripada menyertai khidmat ketenteraan wajib dan memperluaskan pengawasan kerajaan terhadap media.
Bersama rang undang-undang yang membolehkan pembubaran Parlimen, Knesset turut meluluskan peningkatan pembiayaan kepada parti-parti politik. – AFP










