Dakwaan rogol, cabul di bilik jenazah masjid tidak berlaku

Dakwaan rogol, cabul di bilik jenazah masjid tidak berlaku

DZULKHAIRI MUKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis mengesahkan dakwaan seorang wanita yang menjadi mangsa cabul dan rogol berulang kali oleh seorang lelaki di bilik jenazah sebuah masjid di daerah Melaka Tengah adalah tidak berasas selepas siasatan menyeluruh dijalankan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita Melayu berusia lingkungan 50-an pada pukul 9.12 pagi kelmarin.

Menurut beliau, pengadu mendakwa dirinya dicabul dan dirogol berulang kali oleh seorang lelaki Melayu berusia 48 tahun di bilik jenazah sebuah masjid di sekitar Melaka Tengah.

“Susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk merakam percakapan individu berkaitan serta meneliti segala keterangan yang diperoleh.

“Hasil siasatan mendapati dakwaan berhubung jenayah cabul dan rogol itu tidak berlaku sebagaimana yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Dzulkhairi berkata, siasatan mendapati tiada unsur paksaan yang boleh mengaitkan kejadian tersebut dengan kesalahan jenayah cabul atau rogol mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, berdasarkan keterangan yang diperoleh tidak membuktikan kewujudan unsur jenayah seperti yang didakwa oleh pengadu.

“Walau bagaimanapun, memandangkan terdapat isu lain yang timbul hasil siasatan, kes ini telah dirujuk kepada pihak berkuasa agama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil mengikut Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Sebelum ini, dakwaan berhubung kejadian tersebut tular di media sosial dan menjadi perbualan masyarakat setempat selepas pengadu mendakwa menjadi mangsa perbuatan berkenaan di sebuah masjid di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN