Remaja lelaki dituduh rogol kekasih berusia 15 tahun - Utusan Malaysia

Remaja lelaki dituduh rogol kekasih berusia 15 tahun

REMAJA lelaki 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan merogol kekasih berusia 15 tahun pada Mei tahun lalu. - UTUSAN/ MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol kekasih berusia 15 tahun, Mei tahun lalu.

Tertuduh berusia 19 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, anak bongsu daripada lima beradik itu didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dua bulan di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan pada pukul 10.30 malam, 6 Mei 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun peguam, Farriz Minarwan yang mewakili remaja itu memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya itu baru sahaja mendapat pekerjaan sebagai pembantu pemandu jengkaut dua minggu lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan pada 15 Ogos depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN