PETALING JAYA: ‘Dah macam zionis’. Itu komen ringkas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz terhadap kenyataan baharu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Komen ringkas itu dimuat naik menerusi hantaran bertajuk ‘Suara majoriti komponen singkir parti dalam PN – Abdul Hadi’ yang disiarkan dalam platform Facebook Utusan Online, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, penyingkiran mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada keputusan suara majoriti anggota komponen dalam gabungan itu.
Jelasnya, PN mempunyai empat parti komponen iaitu Pas selaku parti terbesar dalam gabungan, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Abdul Hadi berkata, justeru terpulang kepada Gerakan atau MIPP sama ada mahu menyokong Pas atau Bersatu untuk kekal dalam PN setelah kedua-dua parti berkenaan mengakhiri kerjasama politik mereka.
“Terpulang kepada parti rakan-rakan lain. (Mengikut perlembagaan PN) mesti majoriti parti anggota membuat keputusan,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Beliau ditanya laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini berhubung dakwaan Pas merancang menyingkirkan Bersatu daripada PN jika berjaya mempengaruhi Gerakan dan MIPP. – UTUSAN










