Dadah sintetik RM10 ubah fungsi otak

Dadah sintetik RM10 ubah fungsi otak

PUSPEN ditubuhkan sebagai institusi pemulihan di bawah pengurusan AADK bagi membantu individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dan penagihan dadah kembali menjalani kehidupan normal serta bebas daripada ketagihan. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dadah sintetik seperti pil kuda atau yaba (istilah di Thailand) boleh didapati serendah RM10, menyebabkan ia semakin mudah diakses oleh golongan muda yang tidak menyedari risiko sebenar.

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Penyalahgunaan Dadah Asia (Acreda), Dr. Farhana Sabri berkata, selain harga yang murah, dadah sintetik yang dibalut seperti bungkusan gula-gula juga sangat mudah diperoleh.

Beliau berkata, dadah yang turut dilabelkan dengan ‘gred bagus’ dan ‘gred murah’ itu sebenarnya mampu merosakkan fungsi otak dalam masa singkat.

“Berbanding sesetengah dadah tradisional seperti heroin dan kokain yang menyerang saraf dan neurologi secara perlahan, dadah atau bahan sintetik moden mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk menghasilkan perubahan ketara pada fungsi otak, emosi dan tingkah laku dalam tempoh yang lebih singkat. Lebih parah mengakibatkan gejala psikosis (substance-induced).

“Kesan ketara dapat dilihat apabila tulang pipi mula cengkung, gigi rosak dan kelakuan menjadi agresif. Penagih sendiri sebenarnya tidak menyedari perubahan terhadap diri mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan mengenai individu yang terjebak dengan penagihan dadah di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di bawah pengurusan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Psikosis merujuk keadaan mental apabila seseorang terputus hubungan dengan realiti, menyebabkan mereka sukar membezakan antara fantasi dan kejadian sebenar.

Jika sebelum ini penagih cenderung mencampurkan dadah berbeza untuk meningkatkan kesan khayal dikenali sebagai trend ‘sulam’, kini, Farhana berkata, trend baharu yang semakin popular adalah mencampurkan dadah sintetik ke dalam cecair rokok elektronik atau vape.

Jelasnya, ramai penagih menyangka campuran dadah itu hanya memberikan kesan sementara, tetapi ia telah mula mengubah sistem neuron dalam otak.

“Cairan vape yang dilabelkan sebagai ‘magic mushroom’ semakin terkenal sekarang. Ia adalah ganja sintetik dan campuran bahan kimia berbahaya lain.

“Mereka nak rasa yang lebih ‘ummph’, lebih nikmat. Mereka beranggapan jika diambil satu malam sahaja, ia hanya memberikan kesan sementara kononnya hanya khayal selama enam jam. Namun realitinya, sekali ambil sudah cukup untuk mengganggu fungsi biologi otak.

“Otak manusia ada berjuta neuron yang dirembes secara semula jadi apabila kita berada dalam keadaan gembira. Bayangkan dadah sintetik boleh meniru proses itu.

“Sebaik sahaja neuron semula jadi ‘tertipu’, penagih akan sentiasa mahu lebih dan bermulalah titik permulaan ketagihan berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, ahli keluarga terdekat perlu segera cakna terhadap perubahan emosi atau fizikal anak-anak, terutama yang kelihatan lesu, agresif atau terlalu ‘gembira’ tanpa sebab.

“Jika tidak dibendung segera, kita mungkin melihat lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa dadah sebelum mereka sempat kenal apa itu erti hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN