PETALING JAYA: Sambutan kebudayaan ikonik negara, Citrawarna 2026, bakal kembali memeriahkan Dataran Merdeka selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai ini menerusi pelbagai persembahan budaya, seni dan warisan yang mencerminkan kepelbagaian identiti rakyat Malaysia.
Menurut Tourism Malaysia, penganjuran sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) itu mengetengahkan tema ‘Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa’ dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pentas utama untuk meraikan kekayaan budaya pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, pengunjung bakal disajikan dengan empat segmen utama iaitu Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Art).
“Keempat-empat segmen tersebut menawarkan pengalaman menyeluruh menerusi persembahan kebudayaan, hidangan tradisional, pameran seni serta pelbagai aktiviti budaya interaktif.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, Citrawarna atau ‘Colours of Malaysia’ telah menjadi platform penting dalam mempromosikan seni, budaya, warisan serta keindahan alam semula jadi Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Citrawarna 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd. dan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Warisan Kuala Lumpur mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.
“Inisiatif ini turut menyokong pertumbuhan pelancongan yang lebih inklusif, memperkasa komuniti tempatan, meningkatkan daya tahan industri serta memacu pembangunan ekonomi mampan.
“Citrawarna kekal sebagai antara produk pelancongan budaya utama negara yang memainkan peranan penting dalam memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap kepelbagaian identiti budaya Malaysia, selain mengeratkan perpaduan masyarakat dari seluruh pelosok tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, Citra Perarakan akan menampilkan perarakan budaya menerusi gabungan muzik, tarian dan penceritaan yang dibawakan kontinjen dari seluruh negara.
“Citra Rasa pula mengetengahkan keunikan warisan kulinari Malaysia melalui pelbagai hidangan tradisional, manakala Citra Budaya menampilkan persembahan tradisional serta aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan kepelbagaian rakyat negara ini.
“Selain itu, Citra Seni akan mengetengahkan pameran kraf tangan tempatan dan demonstrasi seni secara langsung oleh penggiat industri kreatif,” katanya.
Sementara itu, acara kemuncak Citrawarna 2026 iaitu Citra Perarakan dijadual berlangsung pada 25 Julai ini dengan menghimpunkan penghibur dari seluruh negara dalam satu persembahan berskala besar yang menonjolkan elemen perpaduan, kreativiti dan identiti kebangsaan.
“Persembahan ini dijangka mengubah Dataran Merdeka menjadi pentas penuh warna-warni yang meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia menerusi gabungan muzik, tarian dan penceritaan yang memukau,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tourism Malaysia menjangkakan penganjuran Citrawarna 2026 mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan menerusi peningkatan kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa.
“Kehadiran pengunjung mampu membuka peluang ekonomi lebih luas kepada pengusaha hotel, pengendali pelancongan dan peniaga tempatan, sekali gus merangsang aktiviti ekonomi setempat,” katanya. – UTUSAN










