Cinta di Beijing satukan jejaka Dungun, gadis Jepun

Cinta di Beijing satukan jejaka Dungun, gadis Jepun

AZIZUL Hafizi Abd Aziz mendirikan rumah tangga dengan Okamoto Rio selepas hampir dua tahun mengenali antara satu sama lain ketika menuntut di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Perkenalan ketika menuntut di sebuah universiti di Beijing, China membawa kepada penyatuan hati seorang jejaka dari Kampung Pulau Serai di Dungun, dekat sini dengan gadis Jepun yang kini sah bergelar isterinya sejak 9 Mei lalu.

Azizul Hafizi Abd Aziz, 26, berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan Okamoto Rio, 24, selepas hampir dua tahun mengenali antara satu sama lain ketika menuntut di Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Katanya, isterinya itu adalah pelajar junior dalam fakulti sama ketika dia mengikuti pengajian Ijazah Bahasa Cina sebagai bahasa kedua di universiti berkenaan selama lima tahun.

“Saya mengenali Okamoto pada tahun akhir pengajian sebelum pulang ke tanah air pada hujung 2024. Kami kemudian menjalinkan hubungan jarak jauh ketika saya menyambung pengajian dalam Program Diploma Pendidikan Pascasiswazah (PDPP) pengkhususan Bahasa Cina selama setahun.

“Selepas tamat pengajian PDPP, saya mengambil keputusan mengakhiri hubungan kami dengan perkahwinan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azizul Hafizi berkata, dia yang kini masih menunggu keputusan penempatan sebagai guru bekerja sementara sebagai pengurus stor di Dungun.

Katanya, proses perkahwinan mereka berjalan lancar dengan restu kedua-dua keluarga biarpun berbeza budaya dan negara.

“Alhamdulillah, kedua-dua keluarga tidak menghalang hubungan kami. Isteri kini tinggal bersama saya di Dungun dan sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas memeluk Islam pada April lalu,” katanya.

Menurutnya, selepas majlis akad nikah yang diadakan secara sederhana di sebuah masjid pada Mei lalu, mereka pulang ke Saitama, Jepun selama seminggu untuk bertemu keluarga mentuanya.

“Walaupun keluarga mentua bukan Islam, mereka cuba mengambil tahu mengenai Islam terutama berkaitan makanan halal kerana mahu menyediakan makanan yang sesuai untuk kami berdua,” katanya.

Ujarnya, keluarga mentuanya juga dijangka hadir ke Dungun buat kali pertama sempena majlis resepsi pasangan itu yang diadakan pada September ini.

“Isteri saya masih menyesuaikan diri dengan cuaca dan makanan di sini namun dia sangat menyukai pantai di Terengganu,” katanya.

Menurut Azizul Hafizi, mereka berdua banyak berkomunikasi menggunakan bahasa Cina sejak mula berkenalan sehingga kini.

“Bahasa itu yang menemukan kami dan menjadi penghubung utama dalam hubungan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN