SEREMBAN: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan memuat naik hantaran berunsur hasutan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan menerusi akaun Facebook miliknya pada 26 Mei lalu.
Bagaimanapun, Chegubard, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memuat naik kandungan berunsur hasutan menerusi akaun Facebook miliknya dengan kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 8.30 malam di Jalan Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 26 Mei lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Sazali Omar tawarkan jaminan tidak kurang RM10,000 dengan alasan hantaran dimuat naik sentuh isu sensitif libatkan institusi diraja Negeri Sembilan.
Beliau turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara bagi menghalang tertuduh membuat sebarang komen berkaitan isu yang sedang dibicarakan melibatkan institusi diraja negeri itu. – UTUSAN










