Belanjawan 2027 perlu menepati janji kepada rakyat

Belanjawan 2027 perlu menepati janji kepada rakyat

KEJAYAAN Belanjawan 2027 diukur melalui peningkatan pendapatan, pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN 2027 mencerminkan ikatan dan janji kerajaan untuk terus mendengar denyut nadi rakyat serta memastikan hasil pembangunan dinikmati secara adil. 

Berteraskan tema Menggapai di awan, mengakar di bumi, belanjawan ini menggabungkan aspirasi besar untuk membawa Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya saing dan berteraskan teknologi, dengan keutamaan terhadap keperluan harian rakyat. 

Peruntukan Persekutuan sekitar RM459.8 bilion bukan sekadar angka, sebaliknya diterjemahkan melalui bantuan sara hidup, peningkatan pendapatan, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana serta pelaburan dalam sektor masa hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa sama, sasaran mengurangkan defisit fiskal daripada 3.6 peratus kepada 3.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan kerajaan berusaha menunaikan janji secara bertanggungjawab. 

Inilah gambaran belanjawan yang berpandangan jauh, namun tetap berpijak pada realiti rakyat. Inilah amanah yang perlu ditunaikan.

Dari sudut kebajikan rakyat, langkah paling ketara ialah peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)  daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion. 

Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan, manakala bantuan tambahan turut diberikan kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas, termasuk sebahagian golongan M40. 

Langkah ini boleh membantu keluarga berpendapatan rendah menampung keperluan asas, khususnya ketika harga makanan, sewa rumah, pengangkutan dan perkhidmatan terus meningkat.

Penetapan gaji minimum RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 merupakan langkah penting untuk memperkukuh kuasa beli pekerja, khususnya golongan berpendapatan rendah. Namun, keberkesanannya perlu dinilai bersama gaji penengah kerana gaji minimum yang meningkat tidak semestinya bermakna keseluruhan struktur upah menjadi lebih adil. 

Jika jurang antara gaji minimum dengan gaji penengah kekal kecil, menyebabkan pekerja separa mahir dan graduan mungkin terus menerima ganjaran yang tidak setimpal dengan kemahiran, kelayakan dan produktiviti mereka. 

Oleh itu, kerajaan perlu menggalakkan kenaikan upah berasaskan kemahiran, pengalaman dan prestasi, bukan sekadar menetapkan lantai gaji. 

Dalam hal ini, pelaksanaan upah wajar oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) boleh menjadi penanda aras kepada sektor swasta, khususnya dalam penetapan gaji permulaan graduan. 

Walaupun langkah ini berpotensi mengurangkan kemiskinan bekerja, namun boleh menyebabkan perusahaan kecil menghadapi peningkatan kos. Maka, insentif, latihan dan penguatkuasaan perlu disediakan agar kenaikan gaji diterjemahkan kepada produktiviti, pekerjaan berkualiti dan taraf hidup lebih baik.

Belanjawan ini juga memberikan perhatian kepada perusahaan kecil dan sederhana. Bank Negara Malaysia menyediakan tambahan RM5 bilion kepada Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang dijangka membantu kira-kira 9,000 lagi PKS mendapatkan modal kerja pada kos yang lebih berpatutan. 

Sokongan ini penting kerana PKS bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi, malah menjadi sumber pekerjaan utama. Walau bagaimanapun, bantuan pembiayaan perlu disertai bimbingan pengurusan, pendigitalan dan akses pasaran supaya menghasilkan pertumbuhan jangka panjang, bukan sekadar menyelesaikan masalah aliran tunai sementara.

 Dari perspektif ekonomi makro, kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, manakala hasil kerajaan Persekutuan diunjurkan meningkat kepada RM380.8 bilion. 

Perbelanjaan mengurus dianggarkan RM376.8 bilion dan perbelanjaan pembangunan bersih sekitar RM81.5 bilion. 

Angka ini menunjukkan kerajaan masih mahu melabur dalam infrastruktur, pendidikan, kesihatan, teknologi dan sektor bernilai tinggi tanpa membiarkan defisit berkembang.

Kekuatan utama belanjawan ini ialah kesinambungan antara bantuan jangka pendek dengan agenda ekonomi jangka panjang. 

Kerajaan cuba menarik pelaburan dalam semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data, tenaga boleh baharu dan industri bernilai tinggi. 

Jika pelaburan tersebut berjaya menghubungkan syarikat asing dengan pembekal tempatan, maka Malaysia bukan sahaja menerima modal, malah dapat membina keupayaan teknologi dan mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi.

Belanjawan 2027 menyediakan sokongan penting kepada rakyat, namun beberapa perkara wajar diberi perhatian bagi memastikan manfaatnya berkekalan. Peruntukan subsidi, bantuan dan insentif melebihi RM80 bilion, termasuk subsidi bahan api sekitar RM40 bilion, manakala STR dan SARA meningkat kepada RM16 bilion. 

Walaupun bantuan ini dapat meredakan tekanan segera tetapi perlu dilengkapi reformasi perumahan, pengangkutan awam, kesihatan dan pendidikan supaya kesejahteraan tidak bergantung kepada bantuan tunai semata-mata. 

Dari sudut hasil, kerajaan mengunjurkan kutipan meningkat kepada RM380.8 bilion, termasuk sumbangan Petronas sebanyak RM32 bilion. Kebergantungan sedemikian wajar diurus secara berhemah kerana hasil berkaitan komoditi boleh berubah mengikut harga tenaga global.

Pada masa sama, defisit fiskal disasarkan menurun kepada 3.3 peratus KDNK, menunjukkan komitmen terhadap disiplin kewangan. 

Kejayaan belanjawan akhirnya bergantung pada pelaksanaan yang cekap. Penyaluran tepat pada masanya, proses permohonan mudah, pemantauan terbuka dan pengukuran hasil perlu diperkukuh agar setiap ringgit benar-benar meningkatkan taraf hidup rakyat serta membina ketahanan ekonomi dan memperluas peluang ekonomi.

Belanjawan 2027 memperluas sokongan kepada pelbagai kumpulan, termasuk isi rumah berpendapatan rendah, penjawat awam, pesara, pelajar, pekerja gig, petani, nelayan dan peniaga kecil. 

Sebagai contoh, peruntukan STR dan SARA meningkat kepada RM16 bilion, dengan sehingga sembilan juta penerima STR layak menerima SARA sehingga RM150 sebulan. 

Bantuan Sara Madani pula boleh memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat, termasuk golongan M40. Selain itu, pemandu teksi dan kereta sewa serta pemandu bas sekolah menerima bayaran khas RM1,000. 

Walaupun pendekatan menyeluruh ini membantu pelbagai lapisan masyarakat, namun keberkesanannya perlu diukur melalui perubahan pendapatan, kos hidup dan kualiti perkhidmatan awam serta peningkatan mobiliti sosial untuk semua rakyat.

Belanjawan 2027 ialah manifestasi janji dan ikatan antara kerajaan dengan rakyat. Belanjawan ini bukan sekadar menyusun angka tetapi membuktikan kesediaan kerajaan membantu keluarga menghadapi kos sara hidup, meningkatkan pendapatan pekerja, memperkasa PKS dan membuka peluang ekonomi baharu.

Pada masa sama, sasaran mengurangkan defisit menunjukkan amanah rakyat diurus secara bertanggungjawab demi masa depan negara. 

Kini, janji tersebut mesti diterjemahkan melalui pelaksanaan yang cekap, telus dan berkesan. 

Kejayaan belanjawan bukan diukur berdasarkan besarnya peruntukan tetapi melalui gaji yang lebih baik, pekerjaan berkualiti, perkhidmatan awam yang bermutu dan kehidupan rakyat yang sejahtera. Inilah tanggungjawab bersama demi Malaysia yang lebih adil. –UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini