JOHOR BAHRU: Kesemua calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menawarkan lima ‘Aku Janji Khidmat’ sekiranya diberikan mandat oleh pengundi kawasan masing-masing.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ‘Aku Janji Khidmat’ itu ditawarkan parti berkenaan memandangkan tidak mampu menubuhkan kerajaan negeri sendiri walaupun jika kesemua calon itu menang.
Sehubungan itu katanya, tawaran tersebut dilihat lebih relevan dan bersesuaian berbanding tawaran manifesto yang biasanya ditawarkan gabungan parti-parti politik lebih besar.
“Kita sedar hanya bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi calon-calon Bersama tawarkan ‘Aku Janji Khidmat’ yang mengandungi lima perkara utama akan dilakukan mereka sekiranya dipilih.
“Aku janji itu adalah menganjurkan kaunter bergerak aduan rakyat setiap bulan, mencari penyelesaian membina terhadap aduan rakyat, melindungi hak perumahan rakyat, memperjuangkan sistem pengangkutan awam bersepadu serta menyemak dan memantau perbelanjaan kewangan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar yang diadakan di Taman Sri Tebrau, di sini hari ini.
Turut hadir, Pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa calon Bersama yang bertanding pada PRN Johor ke-16 ini.
Tambah Rafizi, inisiatif itu diambil pihaknya bagi memastikan calon-calon Bersama akan dapat meneruskan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan masing-masing selepas tamat tempoh pilihan raya.
“Sebagai contoh, isu hak perumahan penduduk seperti kampung-kampung tradisional Melayu di kawasan Majidee yang mana pajakan perumahan mereka hampir tamat tempoh.
“Perkara ini mesti dikendalikan secara bersepadu, kerajaan negeri perlu buat keputusan sama ada untuk kekalkan atau tidak, jangan buat penduduk tertanya-tanya dan bimbang dengan masa depan mereka di kawasan berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, bekas Menteri Ekonomi itu berharap Menteri Besar Johor selepas ini sama ada Datuk Onn Hafiz Ghazi atau Dr. Maszlee Malik mempunyai keberanian untuk menyelesaikan perkara itu yang menghantui penduduk terlibat. – UTUSAN










