PETALING JAYA: Pelaksanaan mekanisme baharu BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) kini membolehkan pemilik kenderaan memindahkan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga yang menggunakan kenderaan tersebut.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, seramai 10,000 pengguna telah memanfaatkan fasa akses awal BUDI Diesel di Semenanjung Malaysia yang bermula semalam tanpa sebarang isu dilaporkan.
Katanya, tempoh akses awal itu akan berlangsung selama empat hari sebelum pelaksanaan penuh skim berkenaan bermula pada Rabu ini.
“Pelaksanaan ini turut melibatkan peniaga kecil serta kenderaan pacuan empat roda dan pikap persendirian milik syarikat,” katanya semasa sidang akhbar selepas melancarkan produk pelancongan ATV Safari, semalam.
Amir Hamzah berkata, penambahbaikan itu dilaksanakan susulan maklum balas daripada orang ramai khususnya pengguna di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
“Kita mengambil maklum situasi di luar bandar Sabah dan Sarawak yang menyaksikan anak-anak kadangkala mendaftarkan atau membeli diesel bagi pihak ibu bapa mereka walaupun mereka bukan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.
“Justeru, sistem baharu ini membolehkan pemilik kenderaan memindahkan kuota diesel bersubsidi kepada ahli keluarga yang menggunakan kenderaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pemilik kenderaan boleh mengemas kini maklumat berkaitan menerusi portal rasmi BUDI Madani Diesel.
Skim itu membolehkan pengguna membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter bagi kuota fleksibel sehingga 200 liter sebelum kadar tersebut diselaraskan kepada RM2.10 seliter bermula Rabu ini. – UTUSAN










