Subsidi BUDI Diesel RM2.10 mulai 1 Julai

Subsidi BUDI Diesel RM2.10 mulai 1 Julai

AMIR Hamzah Azizan pada sidang media selepas sesi Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini - UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pelaksanaan mekanisme BUDI Diesel bermula 1 Julai ini dijangka dapat mengekang ketirisan subsidi dan aktiviti penyeludupan bahan api, sekaligus memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penjimatan hasil daripada usaha menutup ruang ketirisan membolehkan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Katanya, sebelum ini subsidi diesel diberikan secara terbuka tanpa pengesahan identiti pengguna sehingga membuka ruang kepada penyalahgunaan, termasuk oleh pihak yang tidak layak.

“Melalui BUDI Diesel, subsidi hanya diberikan kepada rakyat Malaysia yang layak menerusi pengesahan MyKad. Langkah ini memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar,” katanya selepas Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Amir Hamzah berkata, mulai 1 Julai harga diesel di stesen minyak akan dijual pada harga pasaran, manakala subsidi disalurkan terus kepada pengguna layak melalui sistem pengesahan MyKad.

Katanya, setiap individu layak akan menerima kuota asas 200 liter sebulan yang boleh digunakan untuk pembelian diesel bersubsidi termasuk RON95.

“Kerajaan memberi tambahan 100 liter kepada pemilik kenderaan pikap dan jip yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan memandangkan penggunaan kenderaan tersebut lebih tinggi di kawasan berkenaan.

“Had sehingga 300 liter sebulan itu dijangka mencukupi kerana data kerajaan menunjukkan kira-kira 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada jumlah tersebut,” katanya.

Kerajaan turut memuktamadkan mekanisme khas bagi pengusaha bot sungai dan pengguna set jana kuasa (genset) di kawasan pedalaman supaya mereka terus menerima bantuan yang bersesuaian.

Dalam masa sama, Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan Kerajaan Sabah serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) bagi melengkapkan data penerima yang layak.

Mengenai penggunaan MyKad, Amir Hamzah berkata, mekanisme itu terbukti berkesan menerusi pelaksanaan BUDI RON95 dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, sekali gus diyakini mampu dilaksanakan dengan lancar bagi BUDI Diesel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN