Budi Diesel: Lebih 30,000 permohonan tambah kuota dilulus

Budi Diesel: Lebih 30,000 permohonan tambah kuota dilulus

AMIR Hamzah Azizan meninjau pelaksanaan hari pertama Budi Diesel di sebuah stesen minyak di Presint 8, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 30,000 permohonan bagi meningkatkan had kelayakan bulanan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian diluluskan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permohonan tersebut diterima secara dalam talian melalui portal rasmi yang disediakan bagi membuka ruang kepada mereka yang layak bagi peningkatan jumlah kuota bulanan daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.

“Dalam pelaksanaan Budi Diesel, target untuk Budi Diesel ini adalah mereka yang mungkin peniaga-peniaga kecil, penjaja, termasuk mereka yang duduk di pedalaman kerana penggunaannya mungkin lebih sikit.

“Jadi, kita membuka ruang permohonan itu dan mendapat kelulusan dalam aplikasi yang disediakan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan hari pertama Budi Diesel di sebuah stesen minyak di Presint 8, di sini hari ini.

Budi Diesel yang bermula hari ini membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak untuk membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter yang memanfaatkan kira-kira 400,000 pengguna itu di Semenanjung serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pelaksanaan Budi Diesel juga dilihat berjalan lancar, selepas akses awal dibuka pada 27 Jun lalu dengan lebih daripada 80,000 pengguna telah memanfaatkan kemudahan tersebut.

“Inilah antara janji-janji yang kita buat di mana bila ada penjimatan daripada penyasaran subsidi, kita pulangkan kepada rakyat dengan pengurangan harga minyak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan beberapa mekanisme penambahbaikan terhadap inisiatif tersebut termasuk membenarkan kelayakan subsidi dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat.

Ia melibatkan keadaan tertertentu misalnya kenderaan yang didaftarkan atas nama anak tetapi digunakan oleh ibu bapa masing-masing.

“Jadi dibenarkan penukaran kuota dan sampai semalam, lebih daripada 1,000 orang telah memohon untuk penukaran kuota kepada ahli keluarga mereka yang lain,” katanya.

Ditanya berhubung kemampuan kerajaan meneruskan pemberian subsidi susulan penurunan harga minyak dunia, Amir Hamzah menyatakan bahawa pendekatan kerajaan adalah memastikan setiap penjimatan hasil daripada pengurangan ketirisan subsidi akan dipulangkan semula kepada rakyat.

Beliau menjelaskan inisiatif Budi Diesel merupakan contoh bagaimana penjimatan daripada penyasaran subsidi membolehkan kerajaan mengurangkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN