Akses awal BUDI Diesel catat jualan 1 juta liter

Akses awal BUDI Diesel catat jualan 1 juta liter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira satu juta liter diesel bersubsidi dijual pada hari pertama pelaksanaan akses awal BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) di Semenanjung Malaysia, semalam.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan lancar tanpa sebarang aduan atau masalah serius daripada penerima subsidi mahupun syarikat minyak sepanjang pelaksanaan akses awal itu.

Katanya, akses awal itu merupakan persediaan kepada pelaksanaan penuh BUDI Diesel di seluruh negara bermula 1 Julai ini dengan harga diesel bersubsidi ditetapkan pada RM2.15 seliter kepada warganegara yang layak.

“Sepanjang hari pertama akses awal semalam, hampir 24,000 transaksi telah direkodkan, melibatkan pembelian hampir satu juta liter diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta pada harga RM2.15 seliter.

“Pembaharuan subsidi diesel bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi negara kekal mencukupi untuk rakyat dan sektor yang benar-benar memerlukan, selain mengurangkan ketirisan serta memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan yang layak.

“Pendekatan ini turut mengambil kira corak penggunaan diesel yang berbeza mengikut lokasi, jenis kenderaan dan keperluan operasi di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MOF, bagi pemilik kenderaan diesel persendirian, subsidi disalurkan melalui BUDI Diesel menggunakan MyKad dengan had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan.

“Memandangkan majoriti kenderaan diesel persendirian terdiri daripada pikap dan jip yang digunakan untuk perjalanan harian, kerja dan pergerakan ke kawasan pedalaman, pemilik yang layak boleh memohon tambahan 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan,” katanya.

MOF turut memaklumkan lebih 13,000 permohonan baharu bagi tambahan kuota diesel bersubsidi sebanyak 100 liter sebulan diterima menerusi portal rasmi BUDI Madani setakat pukul 11 pagi hari ini melibatkan pemilik pikap dan jip yang layak.

Bagi sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial yang layak, subsidi diesel terus disalurkan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut kategori serta keperluan operasi masing-masing.

“KPDN juga akan menyelaras pelaksanaan subsidi bagi kenderaan persendirian milik syarikat jenis pikap dan jip yang layak selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memuktamadkan data kumpulan pengguna lain yang bergantung kepada diesel khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan laluan sungai supaya tiada golongan memerlukan tercicir daripada bantuan subsidi.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel serta menambah baik pelaksanaannya berdasarkan maklum balas rakyat dan industri.

“Orang ramai boleh menyemak status kelayakan, memohon tambahan had kelayakan BUDI Diesel atau mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI Madani manakala permohonan SKDS boleh dibuat melalui portal MySubsidi KPDN,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN