Budi Diesel: Pemilik pikap, jip boleh dapat tambahan 100 liter

Budi Diesel: Pemilik pikap, jip boleh dapat tambahan 100 liter

AMIR Hamzah Azizan bersama Datuk Armizan Mohd Ali pada sidang akhbar Pelaksanaan Pembaharuan Penyelarasan Subsidi Diesel di Kementerian Kewangan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip di seluruh negara yang layak boleh mula mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kuota ‘liter kelayakan tambahan’ sebanyak 100 liter susulan pengumuman pembaharuan penyasaran subsidi diesel menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan bagi kategori tersebut.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Budi Diesel akan disepadukan dengan Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan Mykad digunakan sebagai alat pengesahan kelayakan subsidi.

Menurut beliau, di bawah mekanisme ini, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan dan had kelayakan itu boleh digunakan secara fleksibel mengikut keperluan pengguna bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.

“Kelayakan 200 liter itu sama seperti RON95, ia boleh dikongsi antara diesel dan petrol. Maksudnya, sesiapa yang mempunyai kenderaan RON95 dan diesel, mereka boleh mendapat 200 liter di bawah Budi Madani. Bagi pemilik kenderaan diesel yang sebelum ini tidak boleh membeli minyak subsidi, mereka kini boleh menggunakan kuota 200 liter yang sama, kita buka kunci yang ada itu, jadi terpulang kepada mereka untuk memilih sama ada mahu menggunakannya untuk RON95 atau diesel.

“Kebanyakan kenderaan diesel di negara ini digunakan untuk perniagaan kecil, kadang-kadang perniagaan tersebut tidak berdaftar, sebaliknya dimiliki oleh individu yang melakukan perniagaan sambilan atau menjaja.

“Kita merasakan mereka mungkin memerlukan kelayakan kuota yang lebih sedikit daripada 200 liter tersebut. Kita juga faham situasi di kawasan pedalaman di mana jarak pergerakan mereka kadang-kadang lebih jauh berbanding kawasan lain,” katanya menerusi sidang akhbar Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan secara dalam talian melalui portal rasmi Budi Madani di www.budimadani.gov.my bermula hari ini.

Manakala, katanya, pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh membuat permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui portal yang sama mulai hari ini, selain permohonan boleh dibuat secara fizikal di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Jelasnya, pendekatan ini bagi memastikan subsidi diberikan kepada penerima yang layak berdasarkan penggunaan sebenar mereka, tanpa mengira sama ada bahan api yang digunakan ialah diesel atau RON95.

Katanya, ia juga memberi fleksibiliti kepada penerima untuk mengurus penggunaan bahan api mereka mengikut keperluan bulanan masing-masing.

Beliau berkata, kemudahan Budi Diesel turut diperluaskan kepada golongan seperti pengusaha bot sungai dan pemilik genset di kawasan pedalaman, melalui kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Mekanisme subsidi diesel sedia ada bagi sektor strategik dan kritikal akan terus dikekalkan termasuk diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter bagi nelayan, Budi Agri-Komoditi untuk petani kecil dan pemegang tanah komoditi berdaftar, SKDS 1.0 (Skim Kawalan Diesel Bersubsidi) pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi diesel itu dijangka memberi manfaat besar kepada lebih 700,000 pengguna di seluruh negara merangkumi kira-kira 400,000 pengguna di Semenanjung serta 300,000 pengguna di Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, bagi penerima sedia ada Budi Diesel Individu, bantuan tunai bulanan RM400 akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung melalui pengesahan MyKad di stesen minyak dengan penerima sedia ada akan dipindahkan ke mekanisme baharu ini secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan tambahan.

Di samping itu, katanya, SKDS turut diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak untuk membolehkan sekitar 70,000 kenderaan komersial yang layak terutamanya kenderaan pengangkutan barangan pengguna untuk menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter melalui penggunaan fleet card syarikat minyak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN