JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Budi Madani Diesel secara automatik bermula semalam berupaya membendung ketirisan bahan api bersubsidi itu khususnya di kawasan sempadan negara serta Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan Budi Madani Diesel itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung.
Katanya, sebelum ini pengguna termasuk di Sabah dan Sarawak menikmati harga diesel bersubsidi secara pukal yang membolehkan sesiapa sahaja membeli diesel pada harga subsidi tanpa pengesahan kelayakan.
“Mulai sekarang, hanya kenderaan diesel persendirian yang berdaftar di bawah sistem Budi Madani Diesel akan menikmati harga subsidi RM2.10 seliter.
“Secara tidak langsung, langkah ini akan membendung ketirisan terutama di kawasan sempadan di Sabah dan Sarawak kerana sebelum ini subsidi diberikan secara pukal,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Budi Madani Diesel di Stesen Minyak Petronas di Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baharu bermula semalam menyaksikan penambahan kuota sebanyak 100 liter untuk pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.
Tambahan 100 liter sebulan itu akan menjadikan jumlah kelayakan subsidi diesel sehingga 300 liter sebulan bagi kategori terbabit.
Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan Budi Madani Diesel pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan kepada pengusaha bot sungai dan pemilik set jana kuasa (genset) di kawasan pedalaman.
Fuziah berkata, penggunaan diesel di Sabah dan Sarawak lebih meluas berbanding Semenanjung setelah kebanyakan penduduk khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman menggunakan kenderaan pacuan empat roda, pikap dan kenderaan utiliti.
“Sebelum ini, kerajaan mengekalkan subsidi diesel secara menyeluruh di Sabah dan Sarawak. Namun dengan pelaksanaan Budi Madani Diesel, subsidi kini disasarkan kepada pengguna yang benar-benar layak tanpa menjejaskan kebajikan rakyat,” katanya. – UTUSAN








