BALIK PULAU : Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dijumpai tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 24, sebuah kondominium di Teluk Kumbar di sini, malam tadi.
Difahamkan, kanak-kanak itu dijumpai oleh orang awam kira-kira pukul 11.30 malam sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, beliau terus menuju ke lokasi kejadian bagi membantu keluarga mangsa sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.
“Saya berada di situ antara pukul 12.15 tengah malam hingga 2 pagi selepas dimaklumkan mengenai kejadian terbabit. Semoga mereka (keluarga mangsa) diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran,” katanya menerusi laman Facebook.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab ketika dihubungi memaklumkan, satu kenyataan akhbar berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.-UTUSAN










