GEORGE TOWN: Pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diingatkan supaya peka terhadap sebarang aduan gangguan salah laku termasuk kesalahan seksual melibatkan murid dan tidak menunggu sehingga sesuatu kes menjadi tular sebelum mengambil tindakan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap laporan yang diterima perlu ditangani mengikut prosedur dan segera dirujuk kepada pihak berkuasa bagi memastikan kebajikan dan keselamatan murid serta pelajar sentiasa terpelihara.
Katanya, tindakan pantas amat penting khususnya apabila melibatkan dakwaan gangguan seksual yang memerlukan perlindungan segera daripada agensi berkaitan.
“PPD khususnya perlu peka dengan kes-kes ini, jangan tunggu viral. Ambil tindakan sewajarnya mengikut proses kerja dan segera melaporkan kepada pihak autoriti,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan surat kelulusan pembinaan bangunan baharu SJKC Heng Ee di sini, semalam.
Beliau mengulas kes gangguan seksual tular membabitkan seorang guru dan murid di Lawas, Sarawak yang telah dirujuk kepada pihak PPD untuk tindakan lanjut.
Fadhlina berkata, tanggapan bahawa tindakan hanya diambil selepas kes tular adalah tidak semestinya tepat kerana siasatan lazimnya bermula sebaik laporan diterima.
Katanya, setiap kes perlu disiasat secara menyeluruh termasuk perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemeriksaan kesihatan jika perlu, selain menasihatkan supaya laporan rasmi dibuat berbanding bergantung kepada media sosial untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Fadhlina berkata, siasatan berhubung dakwaan seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah di Perlis yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga mengalami kecederaan serius masih berjalan dan telah dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) turut menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan dakwaan diteliti secara telus, adil dan berintegriti sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya ingatkan sekali lagi bahawa kita tiada kompromi dalam soal ini dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kes ini,” katanya.
Sebelum ini, pasangan suami isteri dari Chuping, Perlis memohon keadilan buat anak sulung mereka berusia 12 tahun yang didakwa menjadi mangsa buli fizikal dan mental di sekolah.
Norasikin Hasin, 32, dan Muhamad Abdul Hadi Mohd. Fauzi, 32, mendakwa anak perempuan mereka dibuli pada Februari lalu dan mengadu sakit belakang selepas pulang dari asrama sekolah berkenaan.
Fadhlina berkata, siasatan perlu disokong dengan fakta dan bukti lengkap bagi memastikan tindakan diambil berasaskan proses yang adil, telus dan berintegriti.
Katanya, KPM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kejadian itu. – UTUSAN










