Bersama umum calon PRN Melaka Ogos - Utusan Malaysia

Bersama umum calon PRN Melaka Ogos

Rafizi Ramli bergambar kenangan bersama penyokong selepas Nik Nazmi Nik Ahmad selepas siri kedua Jelajah Kancil di sebuah hotel di Ayer Keroh malam tadi. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AYER KEROH: Parti Bersama Malaysia (Bersama) dijangka mengumumkan calon dan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seawal Ogos ini.

Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ketika ini parti itu giat memperkukuhkan persiapan menghadapi PRN Melaka yang dijangka menyusul selepas pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, meskipun tumpuan semasa lebih terarah kepada PRN Johor dan Negeri Sembilan susulan pembubaran kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN), proses mengenal pasti kerusi untuk ditandingi di Melaka turut berjalan serentak.

Menurut beliau, parti itu memerlukan kira-kira sebulan lagi untuk meneliti tahap penerimaan pengundi sebelum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi.

“Menjelang awal Ogos, kita sepatutnya sudah mempunyai gambaran yang lebih jelas mengenai jumlah kerusi dan kawasan yang akan ditandingi di Melaka.

“Kelebihan Bersama sebagai parti pelbagai kaum yang memilih untuk bergerak secara solo membolehkannya bertanding di mana-mana kawasan tanpa terikat kepada kerusi tradisi mana-mana parti,” katanya pada sidang media selepas siri kedua Jelajah Kancil di sebuah hotel di Ayer Keroh malam tadi.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan sambutan terhadap Bersama di Melaka sebagai memberangsangkan walaupun negeri itu mempunyai jumlah penduduk yang lebih kecil berbanding negeri-negeri lain.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, negeri yang merekodkan pendaftaran keahlian tertinggi setakat ini ialah Selangor, diikuti Wilayah Persekutuan, Johor dan Sabah, manakala Melaka berada di kedudukan ketujuh dari segi jumlah keahlian parti.

“Melaka negeri yang lebih kecil, jadi kalau tengok pendaftaran yang lebih besar itu ialah di negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor dan Sabah. Saya ingat Melaka nombor tujuh dari segi keahlian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jumlah ahli bukan satu-satunya ukuran kekuatan sesebuah parti kerana tahap komitmen dan semangat penyokong turut memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi parti menjelang pilihan raya.

Ujarnya, pengalaman Bersama mengadakan program di Melaka menunjukkan minat rakyat terhadap parti itu semakin meningkat dan keadaan tersebut jauh lebih memberangsangkan berbanding pengalaman awal beliau membangunkan parti politik sebelum ini.

Menurutnya, momentum sokongan itu dijangka terus meningkat apabila pilihan raya semakin hampir, sekali gus memberi keyakinan kepada Bersama untuk menawarkan alternatif politik baharu kepada pengundi pelbagai kaum di negeri berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN