YAN: Enam individu termasuk bayi perempuan berusia empat bulan yang dilaporkan terperangkap dalam kejadian kepala air berjaya diselamatkan bomba di Kampung Permatang Keramat, Jalan Batu Hampar di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farid Mohd. Razali berkata, mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 28 tahun, remaja lelaki berusia 17 tahun, dua wanita berusia 51 dan 37 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan bayi berkenaan.
Katanya, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk tindakan lanjut.
“Operasi menyelamat yang turut dibantu dua anggota polis ditamatkan pada pukul 11.19 pagi dan keadaan dilaporkan terkawal,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, limpahan air sungai akibat fenomena kepala air telah menyebabkan Kampung Permatang Keramat dinaiki air dan mengakibatkan beberapa mangsa terperangkap.
Bomba menerima panggilan kecemasan insiden itu pada pada pukul 10.16 pagi sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi. – UTUSAN










