KOTA BHARU: Dua mangsa kebakaran rumah di Kampung Cina, Gok Kapur di sini meluahkan rasa syukur apabila barang kemas yang disangka lebur dimamah api kembali ditemukan.
Nazira Ibrahim, 46, berkata, rantai tangan jenis gajah yang dibeli hampir 15 tahun lalu itu dijumpai di kawasan bilik tidur rumahnya selepas usaha mencari dilakukan oleh suaminya, Mohd. Zaid Mohd. Rozi, 47.
Katanya, barang kemas bernilai lebih RM5,000 tersebut disimpan di dalam beg kecil yang diletakkan di bawah alas getah sebelum rumah mereka terbakar.
“Saya pada mulanya pasrah dengan kejadian ini kerana berasakan barang kemas itu mungkin sukar ditemukan
“Namun, suami bertekad mencari dengan menggali tanah di tapak kebakaran bahagian bilik dan usaha itu mengambil masa kira-kira sejam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Nazira bercadang menjual rantai tangan tersebut bagi membeli yang baharu memandangkan ia tidak lagi boleh dipakai.
Seorang lagi mangsa kebakaran, Zarina Mohd. Noor, 61, berkata, rantai tangan jenis gajah miliknya bernilai RM7,000 ditemukan di kawasan ruang tamu rumah yang terbakar.
Katanya, barang kemas yang dibeli lebih setahun lalu itu dijumpai menantunya, Abdullah, 40, selepas bertungkus-lumus mencarinya selama sejam, kelmarin.
“Alhamdulillah, rezeki saya masih ada apabila rantai tangan ini ditemukan dalam keadaan masih elok walaupun warnanya berubah akibat kesan bahang api. Buat masa ini, saya belum lagi memikirkan sama ada untuk menggantikan rantai tangan yang baharu atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN










