PUTRAJAYA: “Kelakuan ibarat haruan makan anak.”
Demikian kenyataan hakim kepada seorang bapa yang dijatuhi hukuman 39 tahun penjara dan 10 kali sebatan di Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak di sini hari ini, atas tiga pertuduhan merogol anaknya sejak berusia 12 tahun.
Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh yang berusia 46 tahun itu selepas dia mengaku bersalah ke atas tiga pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan keji itu sekitar awal 2024, hujung 2024 dan Jun ini, di antara 12.00 tengah malam sehingga 12.00 tengahari.
Mengikut fakta kes, kejadian rogol itu terbongkar selepas tertuduh membawa mangsa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan.
Namun, pemeriksaan doktor mendapati mangsa telah hamil selama enam minggu empat hari.
Susulan itu, tertuduh didakwa kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, V.Suloshani, manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
Ketika menjatuhkan hukuman, Kunasundary berkata, mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh pada hari pertama dia dihadapkan ke mahkamah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kesalahan yang dilakukan adalah amat keji dan penderitaan yang dialami mangsa sejak berusia 12 tahun tidak boleh diketepikan.
“Dalam menjatuhkan hukuman ini, mahkamah sedar tertuduh telah mengaku bersalah pada tarikh pertama dihadapkan ke mahkamah.
“Namun kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan yang amat keji dan penderitaan yang dialami oleh seorang kanak-kanak sejak berumur 12 tahun tidak dapat diketepikan. Kelakuan tertuduh adalah ibarat haruan makan anak,” katanya.
Selain hukuman penjara dan sebatan, Kunasundary turut mengenakan perintah tambahan dengan mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang di penjara serta pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Terdahulu, Ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menerima satu laporan polis daripada seorang pegawai perubatan pada pukul 9.07 malam, 18 Jun lalu.
Katanya, mangsa telah dipaksa melakukan hubungan seksual bersama bapanya sejak 12 tahun dan dilaporkan hamil. – UTUSAN










