Banjir: Satu takdir atau kegagalan perancangan? - Utusan Malaysia

Banjir: Satu takdir atau kegagalan perancangan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa minggu ini hampir setiap hari kita menatap cerita sedih penduduk Selangor, terutama Shah Alam, Subang dan beberapa kawasan lagi tentang kediaman mereka yang ditenggelami banjir.

Setiap kali mendung hitam hadir, setiap kali guruh berdentum di langit, hati rakyat gusar. Adakah rumah kami akan tenggelam sekali lagi? Adakah banjir akan berulang? Berapa banyak lagi harta benda kami akan rosak.

Setiap kali selepas banjir, rakyat kembali memulakan kehidupan dari kosong. Kalau tidak semua pun, majoriti kelengkapan rumah rosak. Bantuan seribu, dua ribu ringgit tidak mampu menampung kerugian mereka.

Persoalannya, adakah rakyat perlu menerima keadaan ini sebagai perkara biasa? Adakah mereka perlu menerimanya sebagai satu takdir kerana mereka yang memilih untuk tinggal di kawasan terbabit?

Sampai bila pula pentadbir, pemerintah dan pelbagai pihak lagi mahu menjadikan cuaca dan hukum alam sebagai alasan menutup kegagalan mereka? Bagaimana dengan kelemahan-kelemahan lain terutama apabila para cerdik pandai yang mentadbir gagal merancang dengan betul.

Atau perancangan mereka dipesongkan oleh elemen tumbuk rusuk, duit kopi atau duit bawah meja? Selangor merupakan antara negeri paling pesat membangun di negara ini.

Pembangunan kawasan perumahan, perindustrian dan komersial berkembang dengan begitu rancak. Namun, pembangunan yang tidak mengambil kira keupayaan sistem saliran, kapasiti sungai dan kawasan tadahan air akhirnya boleh mengundang masalah besar.

Apabila kawasan hijau ditukar menjadi kawasan pembangunan, keupayaan tanah menyerap air hujan semakin berkurangan. Air mengalir lebih pantas ke sistem perparitan yang mungkin tidak lagi mampu menampung jumlah air berlebihan.

Akibatnya, kawasan yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir mula berhadapan risiko sama. Apabila isu berulang rasanya penilaian semula terhadap dasar pembangunan perlu dilakukan.

Khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir. Kelulusan projek baharu tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan pulangan ekonomi dan potensi pelaburan. Tetapi perlu mengambil kira kesan jangka panjang terhadap keselamatan penduduk serta alam sekitar.

Projek tebatan banjir tidak boleh sekadar menjadi pengumuman bermusim. Kerja menaik taraf sistem saliran, mendalamkan sungai, membersihkan longkang dan menyelenggara kolam takungan perlu dilaksanakan secara konsisten, bukan hanya ketika keadaan sudah mendesak.

Rakyat hendak tahu sejauh mana keberkesanan peruntukan yang dibelanjakan untuk menangani masalah banjir. Projek yang diumumkan perlu mempunyai sasaran, garis masa dan petunjuk prestasi yang jelas supaya keberkesanannya boleh dinilai.

Banjir bukan sekadar takdir yang dikaitkan dengan isu alam sekitar. Ia juga soal kebertanggungjawaban pentadbiran. Rakyat tidak sepatutnya terus menjadi mangsa kepada kelemahan perancangan. Selangor mungkin boleh berbangga dengan kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikalnya.

Namun, ukuran sebenar sebuah negeri maju bukan hanya pada bangunan pencakar langit, lebuh raya dan kawasan perindustrian, tetapi sejauh mana keselamatan serta kesejahteraan rakyatnya terjamin. Jangan sampai setiap kali hujan turun, rakyat Selangor terpaksa berdoa agar rumah mereka tidak ditenggelami air. Pembangunan mesti membawa kemakmuran, bukannya menambah penderitaan. – UTUSAN

Aznan Bakar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.