KUALA LUMPUR: Syarikat Open Fibre Network Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang saham terbesar dalam dalam Aries Telecoms (M) Berhad (ATMB) telah memfailkan saman terhadap Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB) dan enam pihak lagi dan menuntut ganti rugi berjumlah RM2.2 bilion.
Saman tersebut difailkan oleh peguam, Gavin Jayapal yang mewakili Open Fibre pada 5 Jun lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
Open Fibre selaku plaintiff menamakan BPMB, ahli lembaga pengarahnya Tan Sri Rashpal Singh Randhay, pegawai kanan Nik Nor Aini Nik Mohamed, peguam Datuk Lim Chee Wee dan firma guamannya, Lim Keng Peo dan Noorusa’adah Othman sebagai defendan pertama hingga ketujuh.
Menurut penyata tuntutan, Open Fibre mendakwa Aries Telecoms telah dibubarkan walaupun hanya mempunyai liabiliti cukai tertunggak sebanyak RM75,000 sekali gus mengakibatkan kerugian besar kepada para pemegang saham dan kemusnahan nilai pegangan mereka.
Open Fibre seterusnya mendakwa bahawa proses pembubaran tersebut telah menjejaskan nilai pegangan sahamnya dalam Aries Telecoms.
Menurut penyata tuntutan, Aries Telecoms mengendalikan rangkaian gentian optik berlesen di seluruh negara dan telah membayar balik hampir RM100 juta dalam bentuk ansuran pinjaman.
Selain itu, plaintif mendakwa BPMB itu sebelum ini mengekalkan pendirian konsisten dalam beberapa prosiding mahkamah yang mempertikaikan dakwaan penyelewengan dana dan rasuah.
Syarikat itu mendakwa pendirian BPMB dalam pertikaian yang melibatkan pihak-pihak berkaitan Open Fibre telah berubah dengan ketara terutamanya selepas pelantikan Rashpal ke lembaga pengarah bank itu pada April 2022.
Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa bahawa dalam tempoh 55 hari selepas pelantikan Rashpal, BPMB memulakan prosiding undang-undang baharu berdasarkan apa yang disifatkannya sebagai pengakuan rasuah oleh seorang penghutang mungkir, meskipun pendirian tersebut bercanggah dengan kedudukan yang pernah diambil bank itu dalam prosiding terdahulu.
Open Fibre turut mendakwa bahawa strategi litigasi tersebut akhirnya membawa kepada pengeluaran injunksi Mareva dan beberapa perintah mahkamah berkaitan yang membekukan aset serta mengganggu operasi syarikat.
Plaintif juga mendakwa bahawa beberapa defendan telah berpakat dalam penyediaan dan penggunaan afidavit, pernyataan saksi serta bukti lain dalam prosiding mahkamah yang melibatkan syarikat itu dan pihak-pihak yang berkaitan dengannya.
Rentetan beberapa prosiding mahkamah dan tindakan undang-undang oleh defendan yang menyebabkan ia kehilangan projek infrastruktur telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).
Syarikat itu mendakwa projek berkenaan bernilai antara RM2.5 bilion hingga RM2.7 bilion.
Open Fibre turut mendakwa bahawa kesemua defendan terlibat dalam konspirasi yang menyalahi undang-undang, penipuan dan penyalahgunaan proses mahkamah yang akhirnya menyebabkan syarikat itu kehilangan projek tersebut, mengalami kerugian kewangan yang besar serta menanggung kerosakan reputasi.
Plaintif turut mencabar satu penghakiman persetujuan yang direkodkan pada Mac 2024 yang melibatkan seorang individu yang digambarkan sebagai penghutang mungkir.
Open Fibre mendakwa bahawa walaupun terdapat pengakuan berkaitan penyelewengan lebih RM75 juta daripada Aries Telecoms (M) Bhd., individu tersebut telah dilepaskan daripada tuntutan berjumlah RM565 juta selepas bersetuju membayar RM500,000 di bawah penyelesaian berkenaan.
Open Fibre, yang memiliki 90.87 peratus kepentingan dalam Aries Telecoms, turut mendakwa bahawa penerima dan pengurus yang dilantik gagal memelihara nilai syarikat telekomunikasi itu dan sebaliknya membenarkannya memasuki proses pembubaran. – UTUSAN










