KUALA LUMPUR: Kes saman antara syarikat pengeluar tudung, Obor Holding Sdn. Bhd. dan syarikat Pink Fate Sdn. Bhd. milik pelakon, Fazura akan diteruskan dengan perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi di sini.
Ia selepas Hakim Shoba Rajah Dorai Rajah menolak permohonan Obor Holdings, selaku plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus berjumlah RM1 juta dalam kes saman tersebut.
Menurut peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Pink Fate dan Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati terdapat isu-isu tertentu dalam kes tersebut yang menuntut perbicaraan penuh.
“Mahkamah berpendapat kes ini tidak mudah dan pihak defendan juga mempunyai pembelaan yang bermerit,” kata peguam itu.
Tambah peguam itu, mahkamah turut memaklumkan bahawa Obor Holdings telah diperintahkan untuk membayar kos sebanyak RM3,500.
Berdasarkan dokumen pernyataan tuntutan, Obor Holding telah memfailkan saman pada 7 April lalu terhadap Pink Fate Sdn. Bhd., Fazfit Sdn. Bhd., serta pasangan adik-beradik Nur Fazura dan Ahmad Faiz Sharifuddin yang dinamakan sebagai defendan.
Obor Holding menuntut sejumlah RM4.74 juta, termasuk RM4.65 juta untuk pembayaran tertunggak bagi pesanan tudung yang didakwa gagal dijelaskan antara tahun 2022 hingga 2024.
Menerusi perjanjian pengeluaran pengilang peralatan asal (OEM) yang dipersetujui kedua-dua pihak, Obor Holding mendakwa telah menghantar lebih 30 pesanan tudung bernilai RM7.3 juta kepada Pink Fate.
Bagaimanapun, hanya RM2.68 juta yang telah dibayar manakala baki RM4.6 juta masih belum dilunaskan.
Menurut plaintif, Pink Fate juga telah mengeluarkan cek bernilai RM1 juta pada 3 September 2024, namun ia ditolak oleh bank dengan catatan ‘refer to drawer’, yang menandakan kegagalan defendan melunaskan bayaran seperti yang dijanjikan.
Selain menuntut bayaran penuh daripada Pink Fate, Obor Holding turut mendakwa keempat-empat defendan telah bersama-sama memperdaya syarikat itu supaya meneruskan pengeluaran tudung dengan menggunakan reputasi Nur Fazura sebagai selebriti untuk membina keyakinan perniagaan. – UTUSAN










