Anwar dakwa wujud unsur khianat, usaha jatuhkan kerajaan N. Sembilan

Anwar dakwa wujud unsur khianat, usaha jatuhkan kerajaan N. Sembilan

ANWAR Ibrahim pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Koprojaya Ke-10 di Kompleks F, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud sedikit unsur ‘khianat’ dalam kerjasama politik di Negeri Sembilan yang kemudian memaksa kerajaan negeri mengadakan pilihan raya negeri (PRN) lebih awal.

Perdana Menteri berkata, tindakan khianat itu secara khusus merujuk kepada tindakan yang boleh menjejaskan kerjasama dan kestabilan politik yang telah dipersetujui di Negeri Sembilan.

“Saya bagi kenyataan bahawa dalam menjayakan kerjasama dalam negara ini, jangan ada unsur-unsur pengkhianatan. Kalau tak khianat, baguslah.

“Tetapi kalau kita tengok pengalaman kita di Negeri Sembilan, tentunya ada usaha dalam keadaan stabil politiknya, ekonominya, tapi ada usaha-usaha untuk menjatuhkan. Jadi, itu bagi saya ada sedikit pengkhianatan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Bhd (Koprojaya) di sini hari ini.

Anwar mengulas isu berkenaan susulan kenyataan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menepis dakwaan kononnya UMNO sebagai pengkhianat di sebalik pembubaran kerajaan di Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, soal sama ada sesebuah negeri mahu mengadakan pilihan raya lebih awal adalah hak kerajaan negeri berkenaan untuk menentukannya.

“Dalam soal Johor pula, itu terserahlah dia nak adakan pilihan raya lebih awal, tapi saya kata tumpuan kita menjana pertumbuhan ekonomi negara, masalah rakyat.

“Kalau dalam tiga empat bulan ini kita sibuk soal pilihan raya, padahal kalau kita dapat dalam dua tiga bulan dalam keadaan krisis ekonomi, tumpu kepada perkara itu, itu yang saya maksudkan.

“Kalau tidak, tak ada khianat, tak apalah. Tapi maknanya kita harus tingkatkan kefahaman mengapa kerjasama dan muafakat itu penting dan bila ada keperluan pilihan raya pada masanya, jalanlah,”

Katanya, sekiranya tiada tindakan yang boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap semangat kerjasama dan muafakat politik, maka perkara itu tidak menjadi isu.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata, tidak harus timbul isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran di peringkat negeri mahupun nasional berakhir dan tamat.

Kenyataan itu bagi menafikan dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melabel UMNO sebagai ‘pengkhianat’ susulan pengumuman Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.

Sebelum itu juga, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendakwa pengkhianatan terhadap kerajaan negeri oleh UMNO membawa kepada pembubaran DUN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN