‘Anak saya sudah tiada, mana keadilannya?’

‘Anak saya sudah tiada, mana keadilannya?’

KETIGA-tiga ibu mangsa turut hadir semasa prosiding keputusan kes di Mahkamah Majistret Khas Trafik, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga ibu kepada mangsa maut selepas dirempuh kereta yang melanggar lampu isyarat merah di Senawang di sini tahun lalu menuntut keadilan buat anak-anak mereka.

Kesemuanya iaitu Haslinda Jupri, 45, Nurha’afza Salwa Hazizan, 42, dan Rohani Ab. Ghani, 46, kecewa terhadap hukuman yang dikenakan ke atas pemandu kenderaan terbabit yang disifatkan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Haslinda berkata, sehingga kini dia masih sukar menerima kehilangan anak lelakinya, Allahyarham Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15.

“Saya memang tidak boleh terima keputusan mahkamah sedangkan anak saya sudah tiada.

“Saya tidak fikir soal pampasan. Apa yang saya mahukan hanyalah keadilan untuk anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu dalam prosiding keputusan kes hari ini, Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini hari ini memerintahkan Pesalah Kanak-Kanak (PKK) yang kini berusia 18 tahun itu ditempatkan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.

Majistret, Nurul Azuin Mohd. Talhah membuat keputusan itu selepas mengambil kira laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pandangan penasihat.

Selain itu, Mahkamah turut memerintahkan ibu bapa remaja tersebut membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa.

Sementara itu, menurut Haslinda tragedi tersebut bukan sahaja memberi kesan kepadanya, malah turut menjejaskan emosi anak keduanya yang masih trauma kerana terlibat dalam kemalangan berkenaan.
“Anak kedua saya tidak mahu pergi ke sekolah dan sering terganggu tidurnya kerana masih teringatkan arwah abangnya. Saya pun tidak tahu hendak buat apa lagi, tetapi apa yang berlaku sangat memberi kesan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Aswari Lotpi, 16, Rohani berkata, kehilangan anak bongsunya masih menghantui fikirannya sehingga kini.

“Malam tadi saya bermimpi dia pulang ke rumah dan memanggil saya ‘mama’. Saya terlalu rindukan dia,” katanya.

Ibu kepada Allahyarham, Aisar Azim Abdullah, 17, Nurha’afza pula berkata, dia terkilan kerana keluarga remaja lelaki itu masih belum memohon maaf berhubung kejadian tersebut.

Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini kira-kira pukul 8.30 malam pada 6 Mac tahun lalu.

Muhammad Aidil Ramdan dan Muhammad Aswari maut di lokasi kejadian, manakala Aisar Azim meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN